Penjaja bot terapung boleh guna kaedah bayaran digital

KOTA BHARU - Menjaja di atas bot terapung tidak menjadi halangan buat penjaja Pulau Sri Tanjung, Tumpat untuk menggunakan kaedah pembayaran digital sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung ke pulau kecil itu.
Transformasi tersebut juga membolehkan seramai 60 penjaja membuat persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan pulau berkenaan merupakan antara destinasi pelancongan popular serantau.
Presiden Kumpulan Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai itu lebih sesuai dalam situasi kehadiran pengunjung yang ramai.
“Dengan kehadiran sehingga 3,000 pelancong sehari, ia membuka peluang yang signifikan untuk menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Pulau Suri yang bakal menjadi wilayah perniagaan menggunakan sistem pembayaran secara digital sepenuhnya.
Jelas Tengku Ahmad Badli Shah, usaha tersebut juga mampu mengubah kaedah pembayaran tradisional kepada cara yang lebih moden dan efisien.
“Inisiatif ini menyokong pembangunan ekonomi dengan menyediakan kemudahan pembayaran digital kepada penjaja tempatan, sekali gus menghubungkan komuniti pulau terpencil dengan perkhidmatan kewangan arus perdana,” ujarnya.
Tambah beliau, para peniaga juga dapat mengurangkan risiko pengendalian wang tunai serta mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang tempoh berniaga.
Tengku Ahmad Badli Shah turut memaklumkan bahawa inisiatif penggunaan perbankan digital itu akan turut memberi manfaat kepada 450 nelayan pesisir pantai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!