Netanyahu larikan diri ke Greece?

ATHENS - Warganet ligat membuat spekulasi dan teori tentang pesawat rasmi Perdana Menteri Israel, Wing of Zion yang dilihat di Lapangan Terbang Athens pada tengah hari Jumaat lalu, beberapa jam selepas Tel Aviv melancarkan siri serangan udara ke atas kemudahan nuklear dan beberapa lokasi di Iran.
Pengguna platform X turut menjejaki laluan dan masa penerbangan itu menggunakan data tersedia secara umum di laman web perkhidmatan pemantauan penerbangan, FlightRadar24.
Tetapi, masih tidak jelas sama ada Netanyahu atau mana-mana ahli keluarganya sememangnya menaiki pesawat tersebut.
Beberapa pemerhati mendedahkan beberapa kemungkinan motif strategik di sebalik langkah itu yang kononnya melibatkan protokol keselamatan dipertingkatkan dan perancangan diplomatik atau ketenteraan berpotensi.
Menurut mereka, keputusan menempatkan pesawat Netanyahu di Athens mungkin bertujuan untuk mengalihkannya dari zon serangan peluru berpandu atau dron yang menyasarkan infrastruktur udara Israel.
Terdapat juga spekulasi pemimpin ekstremis itu mungkin melarikan diri ke ibu kota Greece bersama keluarganya sebagai langkah berjaga-jaga kerana takut dengan serangan balas Teheran.
Keberadaan Netanyahu terus mencetuskan teka-teki kerana pihak berkuasa Israel sendiri tidak mengesahkan dakwaan tersebut, namun ramai yang percaya dia pastinya berbuat demikian demi menyelamatkan diri. - Agensi
Info:
>Pesawat itu merupakan pengangkutan rasmi Netanyahu dan Presiden Isaac Herzog ketika lawatan ke luar negara.
>Sebelum ini, Wing of Zion pernah dialihkan dari Pangkalan Tentera Udara Nevatim yang terletak di utara Gurun Negev ketika Iran melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv pada April 2024.
>Tidak lama selepas Wing of Zion berlepas ke Greece, Teheran menembak lebih 100 dron ke arah Israel.
>Beberapa laporan media mendakwa pesawat rasmi itu membawa Duta Israel ke Greece, Noam Katz selepas penerbangan komersial dihentikan dan penutupan laluan udara di rantau tersebut pada Jumaat. Katz dikatakan penumpang tunggal Wing of Zion.
>Perjanjian Kerjasama Ketenteraan Greece-Israel membenarkan penempatan pesawat dari Athens dan Tel Aviv di lapangan terbang tentera masing-masing selama tempoh yang diperlukan sekiranya berlaku kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!