Pas jangka pentadbiran Kedah bergolak

Muhammad Sanusi membuat lawatan ke jeti Pasar Bisik Kuala Muda bagi meninjau lambakan ikan bersama ADUN Pas Kedah, hari ini.
Muhammad Sanusi membuat lawatan ke jeti Pasar Bisik Kuala Muda bagi meninjau lambakan ikan bersama ADUN Pas Kedah, hari ini.
A
A
A

KOTA KUALA MUDA - Pas Kedah menjangkakan pentadbiran negeri yang kini diterajui oleh kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berlaku perubahan dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pada ketika ini perbezaan situasi politik antara kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi halangan dalam melancarkan kerja-kerja pentadbiran.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, beliau yakin perubahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri bakal berlaku dalam tempoh minggu ini.

"Saya yakin pada minggu ini akan berlaku pergeseran pergerakan macam muka bumi ini akan berganjak untuk mengambil tempat masing-masing.

"Benda itu tak berlaku lama kerana bila kita tak duduk tempat kita, tak dapat melaksanakan proses dengan sempurna untuk melaksanakan proses pentadbiran kerajaan yang lebih licin, semua orang perlu berada di tempat masing-masing.

"Saya yakin ahli yang berhormat di negeri Kedah akan mengambil tempat masing-masing dalam minggu ini insya-ALLAH," katanya ketika mengadakan lawatan ke Pasar Bisik Kuala Muda bagi meninjau keadaan lambakan ikan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dijangka beralih sokongan, beliau berkata, sebarang keputusan bergantung kepada ketiga-tiga ADUN tersebut.

"Pas Kedah mengambil sikap yang kita umumkan sebelum ini di mana satu hari nanti akan luruh, yang luruh dulu, nanti kita kawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pas masih belum membuat sebarang pertemuan mahupun perbincangan dengan tiga ADUN berkenaan iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Robert Ling dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dari Bersatu.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan Pas Pusat dan bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pas tidak mengamalkan amalan perebutan jawatan dalam parti sebaliknya akan mematuhi arahan yang dibuat pihak atasan.