Malaysia wajar guna peranan ASEAN kutuk serangan Israel - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Negara perlu tampil dengan kenyataan tegas dan jelas berhubung perkembangan isu serangan tentera Israel ke atas Iran pada Jumaat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia sekali gus memanfaatkan kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam menjuarai suara dan komitmen negara anggota ke arah menyelesaikan segala konflik yang berlaku.

“Usaha itu turut memainkan peranan lebih besar dan berkesan di pentas dunia termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Negara-Negara Komanwel bagi mencapai matlamat yang sama.

“Pas percaya semua pihak yang mencintai keamanan dan penyelesaian damai kepada konflik perlu mengutuk keras serangan terbaharu Israel ini, semua tindakan ganas dan menyalahi undang-undang serta konsensus antarabangsa membabitkan rejim tersebut.

“Ia kerana perbuatan itu akan mengheret seluruh dunia ke dalam konflik lebih besar dan lebih meluas termasuk kesan buruk ke atas perdagangan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pasukan tentera Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada awal pagi Jumaat menyasarkan kemudahan nuklear dan peluru berpandu.

Serangan berkenaan mengorbankan lebih 104 mangsa termasuk komander tertinggi tentera dan saintis serta mencederakan hampir 380 orang lagi, menurut sumber Iran.

Takiyuddin berkata, Pas mengutuk tindakan tersebut yang berpotensi memburukkan lagi keadaan tegang sedia ada di rantau terbabit.

Menurutnya, perbuatan tentera Zionis itu turut mendedahkan niat sebenar Israel yang mahu menggagalkan semua usaha ke arah penyelesaian diplomatik kepada konflik yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan rentetan peristiwa dan tindakan rejim di rantau tersebut yang semakin agresif bermula dengan serangan 7 Oktober 2023, jelas bahawa Israel mahu menghapuskan semua pesaing terhadap kuasa hegemoni dan objektif peluasan wilayahnya, dengan Iran menjadi sasaran terbesar setelah pencabar-pencabar lain dilumpuhkan sebelum ini.

“Ia termasuk melalui operasi pembunuhan tokoh dan individu penting negara pesaing, sama ada tentera atau bukan tentera, yang dilihat boleh menjadi ancaman kepada Israel,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!