Gelagat pengunjung di pesta buku

Suasana orang ramai yang memeriahkan PBAKL 2025 di WTCKL baru-baru ini. Foto fail Bernama
Suasana orang ramai yang memeriahkan PBAKL 2025 di WTCKL baru-baru ini. Foto fail Bernama
A
A
A

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 berakhir dua minggu lalu. Sehari selepas pesta itu berlalu, sahabat saya, Khair Ngadiron yang juga orang kuat menjayakan pameran buku terbesar tahunan itu menghebahkan melalui media sosialnya — seramai 2.1 juta pengunjung telah menyantuni pesta selama 10 hari itu bermula 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Jangan tanya saya bagaimana angka 2.1 juta pengunjung dihitung oleh Khair. Mungkin beliau menempatkan teknologi sensor kecerdasan buatan (AI) untuk mengira pengunjung yang keluar masuk. Sebaik sahaja sensor itu mengena kepala pengunjung, berambut atau tidak, kiraan kehadiran pengunjung dirakam.

Tetapi itu tidak mengapa, yang penting PBAKL 2025 mendapat sambutan memberangsangkan terutama empat hari terakhir pesta tersebut berlangsung. Tentu ada pengarang buku dan penerbit yang ketawa riang menuju ke bank selepas pesta berakhir.

Hal itu kerana atas andaian sekiranya seorang pengunjung membeli satu naskhah buku, maka 2.1 juta naskhah terjual sepanjang pesta diadakan. Sekiranya kuantum pembelian ditambah kepada dua naskhah, maka jumlah buku terjual menjadi 4.2 juta naskhah.

Menarik juga sekiranya pihak Khair boleh melaporkan bilangan sebenar buku telah terjual selama 10 hari itu dan berapakah pula nilainya dalam bentuk Ringgit Malaysia. Laporan terperinci juga boleh diberikan tentang buku jenis apa yang 'laku keras' sama ada fiksyen atau faktual.

Seorang peminat buku yang setiap hari ke PBAKL memberitahu, menurut pemerhatiannya genre buku yang laris ialah buku kanak-kanak dan remaja, buku agama serta novel. Kalau Khair dapat mengesahkannya, maka trend pembelian buku di PBAKL 2025 mungkin boleh dijadikan pedoman untuk pengarang buku menyediakan karya baharu bagi dipasarkan dalam pesta sama tahun depan.

Namun, ada sisi menarik lain PBAKL kali ini. Tidak kurang ada juga yang lucu. Saya terserempak seorang pembeli buku yang membeli 50 judul buku dan bertanya — bila buku-buku akan dibaca. Jawabnya: “Beli dulu untuk tambah koleksi di perpustakaan peribadi saya. Beli tidak semestinya untuk dibaca.”

PBAKL 2025, seperti tahun sebelumnya merupakan hari raya bagi pengarang, penerbit, pempamer dan peminat buku, didominasi penerbit-penerbit besar seperti Karangkraf, Dewan Bahasa dan Pustaka, PTS, MPH dan beberapa yang lain.

Artikel Berkaitan:

Reruai kecil ada juga laris jualannya seperti di Rak Buku SHE, dikendalikan Nurul Syahidah Hassan, novel Pesuruh karya Ahadiat Akashah menjadi buruan. Khabarnya 400 naskhah Pesuruh terjual, meraih pendapatan tertinggi di reruai tersebut.

Tidak kurang menarik, penyertaan pertama sebilangan pengarang yang baru pertama kali menulis buku untuk dipasarkan di pesta gah itu. Misalnya, Datuk K Rajagopal yang pernah bertindak sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak negara Harimau Malaya hadir bertemu peminat dengan karya berjudul Inilah Saya – K. Rajagobal, terbitan Karangkraf.

Sebuah lagi judul buku baharu yang laris di reruai Karangkraf ialah karya Roslan Ab Hamid, berjudul Hussamuddin Yaacub: Guru Bangsa Usahawan.

Pasangan suami isteri, Dr Prebagaran Jayaraman, seorang penceramah pengurusan tersohor dan Cikgu Sitalechmi Singaram, asal Seri Manjung pula tampil dengan buku sulung mereka diterbitkan oleh PTS berjudul Upgrade Diri, Dari Hidup Biasa Kepada Hidup Luar Biasa Mengikut Acuan Kita. Buku itu muncul sebagai karya bukan fiksyen kedua terlaris di reruai PTS dan siap dicetak sehari sebelum ia dilancarkan pada 31 Mei lalu.

Saya juga berpeluang menghadiri sesi Sua dan Sapa seorang pengarang yang juga pertama kali memperkenalkan buku garapannya tetapi sayang buah tangannya tidak sempat dicetak untuk dijual di pesta tersebut.

Percaya atau tidak, ada pengunjung ke pesta buku langsung tidak membeli senaskhah buku pun. Yang dibeli ialah kerepek pisang, muruku dan pelbagai kuih dijual di pintu masuk pesta sekiranya anda ke sana melalui Hotel Seri Pacific.

*Dr Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!