Pedofilia digital musuh senyap kanak-kanak

DI sebalik kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat, muncul satu ancaman semakin meresahkan, pedofilia, satu jenayah seksual yang menyasarkan kanak-kanak, lebih membimbangkan ia semakin berakar melalui ruang digital tidak terbatas.
Pedofilia dilihat bukan sekadar jenayah keji, tetapi virus sosial yang menggugat asas keselamatan kanak-kanak kita.
Jika dahulu penjenayah seksual kanak-kanak bergerak secara fizikal dan mudah dikesan, hari ini mereka beroperasi secara senyap melalui platform media sosial, aplikasi permainan dalam talian serta forum gelap dan kumpulan mesej tersembunyi.
Mereka menggunakan teknik manipulasi psikologi seperti 'grooming' dengan membina kepercayaan secara perlahan sebelum menjurus kepada eksploitasi seksual.
Apa yang lebih menakutkan semua ini berlaku dalam diam, tanpa disedari ibu bapa atau penjaga.
Malaysia bukan lagi kawasan selamat. Beberapa tangkapan besar sejak 2017 membuktikan wujud rangkaian pedofilia antarabangsa yang turut beroperasi dari dalam negara.
Dengan lebih 90 peratus kanak-kanak kini terdedah kepada internet ditambah dengan penggunaan telefon pintar seawal usia prasekolah, ruang interaksi anak-anak dengan dunia luar semakin terbuka dan tidak terkawal.
Tanpa kawalan ibu bapa, anak-anak menjadi sasaran mudah untuk diburu, dipujuk dan dieksploitasi, sama ada untuk pertemuan fizikal atau dijadikan bahan pornografi yang diperdagangkan secara dalam talian.
Sebagai masyarakat, kita tidak boleh menunggu insiden berlaku baru mahu bertindak. Ancaman ini perlu ditangani dengan pendekatan kesedaran menyeluruh, penguatkuasaan tegas dan pendidikan berterusan.
Undang-undang diperketatkan, hukuman terhadap pelaku pedofilia mesti lebih berat dan pendedahan identiti perlu dipertimbangkan demi keselamatan awam.
Dari segi pengawasan digital keluarga, ibu bapa mesti celik teknologi dan sentiasa menyemak aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Selain itu, penting pendidikan keselamatan diri di mana kanak-kanak perlu diajar sejak kecil tentang sempadan tubuh, hak peribadi dan bagaimana meminta bantuan.
Pedofilia bukan sekadar isu jenayah, ia adalah ancaman terhadap masa depan negara, kerana setiap kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah nyawa, jiwa dan harapan yang musnah.
Sebagai masyarakat, kita tidak boleh menutup mata hanya kerana ia berlaku di balik pintu dan skrin.
Kita mesti bersuara, bertindak dan memastikan setiap ruang untuk penjenayah ini ditutup rapat, sebelum lebih ramai menjadi korban sunyi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

