Siasat salah guna gambar kanak-kanak di media sosial - Mohd Na'im

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan gambar kanak-kanak dan remaja di media sosial termasuk pentadbir sebuah kumpulan Facebook (FB) dikenali 'Grup Budak-Budak Sekolah Rendah'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan berleluasa dan mesti dihentikan serta-merta.
Menurutnya, tiada ruang untuk bertolak ansur terhadap gangguan seksual, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak.
"Saya memandang serius pendedahan pempengaruh media sosial, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, berhubung penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam sebuah kumpulan FB yang didakwa mempromosikan kandungan tidak bermoral melibatkan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Mek Yun mendedahkan mengenai kewujudan kumpulan terbabit dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral itu.
Mek Yun yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Pulau Pinang meluahkan rasa terkejut apabila mendapati gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik ke dalam kumpulan tersebut tanpa sebarang kebenaran.
Lebih mengejutkan Mohd Na'im berkata terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan tersebut yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.
"Ini adalah satu bentuk jenayah sangat keji dan menjijikkan, bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat.
"Perlindungan terhadap kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang wajib dipikul setiap lapisan masyarakat," katanya lagi.
Justeru katanya, orang dewasa dinasihatkan agar menjaga adab dan pertuturan terhadap kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun di alam maya.
Jelasnya, penggunaan bahasa yang kotor, jijik dan berunsur seksual terhadap kanak-kanak adalah perbuatan sangat tidak bermoral serta boleh memberi kesan psikologi mendalam kepada mangsa.
"Jangan sesekali normalisasikan gangguan secara lisan atau seksual dalam apa jua bentuk. Kanak-kanak termasuk dalam kategori lemah yang wajib dilindungi dan dihormati hak mereka bukannya dieksploitasi atau menjadi mangsa kerakusan hawa nafsu yang hina.
"Saya turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka tentang keselamatan digital," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihak berwajib juga perlu memperhebatkan usaha memperkasa undang-undang dan mekanisme pemantauan terhadap jenayah seksual dalam talian.
"Kerajaan Madani komited untuk memastikan keselamatan anak-anak dan remaja sebagai amanah yang mesti dipertahankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

