Penubuhan Majlis Media Malaysia bukti komitmen kerajaan laksana reformasi institusi - Syahredzan

Syahredzan Johan
Syahredzan Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa pada Sabtu membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk terus melaksanakan reformasi institusi.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, penubuhan majlis ini juga merupakan langkah bersejarah dan positif bagi menjamin kebebasan media di negara ini.

Menurutnya, dengan tertubuhnya MMM itu juga secara tidak langsung turut merealisasikan salah satu tawaran manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Dengan berkuatkuasanya akta ini, maka media di Malaysia akan beralih daripada kerangka yang memerlukan intervensi kerajaan kepada suatu kerangka kawalan sendiri.

“Rungutan, aduan, ketidakpuasan hati dan apa-apa perkara yang perlu resolusi berkaitan pelaporan oleh media akan diuruskan dan diselesaikan oleh mekanisme penyelesaian yang akan dirangka melalui akta ini kelak.

“Dengan akta ini juga, kebergantungan masyarakat kepada sistem kehakiman, sama ada melalui saman sivil atau pendakwaan jenayah bagi menguruskan aduan mengenai media akan berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan akta MMM mula berkuat kuasa pada Sabtu.

Fahmi berkata, beliau telah menandatangani warta bagi menguatkuasakan akta berkenaan sekali gus menjadi satu reformasi besar buat pengamal media.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, tindakan ke atas badan dan pengamal media atas talian melalui undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia juga wajar diminimakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kerajaan juga diingatkan agar terus melaksanakan reformasi dengan membuat semakan semula ke atas undang-undang yang mengekang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Usaha ini penting supaya ia selari dengan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!