Seleweng wakaf KIM: iWAQF desak kerajaan tubuh RCI

iWAQF
iWAQF
A
A
A
SHAH ALAM -Institut Waqf Nasional (iWAQF) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan kerjasama Majlis Raja-Raja Melayu dan agensi berkaitan bagi menyiasat secara menyeluruh sejarah, status semasa serta pelupusan aset wakaf Kolej Islam Malaya (KIM) sejak awal penubuhannya.

Menurut institusi yang memperjuangkan pemerkasaan tadbir urus wakaf di Malaysia itu, pihaknya turut menyeru masyarakat sivil, institusi agama, ahli akademik serta bekas pelajar KIM untuk bersatu dan menyokong usaha menyelamatkan harta wakaf tersebut demi masa depan ummah.

“iWAQF menzahirkan rasa amat sedih, kecewa dan bimbang terhadap pendedahan serius berkenaan dakwaan penyelewengan harta wakaf KIM yang dianggarkan mencecah hampir RM10 bilion seperti dilaporkan dalam media pada Jumaat.

“Pendedahan tersebut menggambarkan satu pengkhianatan besar terhadap amanah wakaf yang seharusnya dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan dan Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Persatuan Bekas Siswa Kolej Islam Malaya Selangor (PBSKIM) mendakwa wujud unsur konspirasi terancang membabitkan harta wakaf milik KIM yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Setiausahanya, Dr Firdaus Ahmad Azzam berkata, aset wakaf yang terlibat meliputi hartanah, wang tunai dan pelaburan saham yang disumbangkan oleh pelbagai negara termasuk Brunei, Arab Saudi serta Bahrain sejak institusi tersebut ditubuhkan secara rasmi pada 1995.

Susulan itu, pihaknya telah membuat laporan polis pada Jumaat dengan mengemukakan bukti-bukti tambahan bagi membawa isu berkenaan ke muka pengadilan.

Tambah iWAQF, isu berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan wakaf di Malaysia, malah turut mencalar maruah institusi Islam yang bertanggungjawab memelihara integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

“Dakwaan bahawa aset wakaf telah disalahgunakan termasuk dilaburkan dalam syarikat perjudian dan pemindahan hak milik secara tidak telus kepada pihak tertentu adalah perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Wakaf adalah amanah suci yang tidak boleh digadai demi kepentingan individu atau kelompok tertentu. Kami akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersedia menawarkan kepakaran teknikal serta perundangan dalam usaha memperjuangkan kebenaran serta memulihkan aset wakaf KIM sesuai dengan maqasid dan tujuan asal pewakaf,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!