RVOR kelapan akan beroperasi manfaatkan nelayan setempat - Armizan

Armizan. Foto Bernama
Armizan. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BELUD - Bagi memudahkan masyarakat nelayan dan penduduk sekitar mendapatkan bekalan bahan api, sebuah lagi lokasi pengisian diesel khas akan dibuka di Kampung Kuala Abai, di sini.

Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih Petronas (ROVR) yang dijadual mula beroperasi Sabtu depan itu disediakan hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Petronas Dagangan Berhad.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif yang dilaksanakan sejak 2018 itu bertujuan memastikan akses bekalan bahan api secara menyeluruh termasuk kepada komuniti di luar bandar dan pedalaman.

"Perkhidmatan ROVR ini adalah permintaan daripada penduduk, khususnya nelayan, supaya disediakan tempat untuk mereka mengambil bahan api bagi diisi pada bot-bot nelayan.

"Ini merupakan salah satu daripada agenda kita untuk memastikan bahawa semua rakyat kita termasuk nelayan tidak perlu menanggung kos tambahan bagi mendapatkan bekalan bahan api tersebut.

"Alhamdulillah, pada hujung bulan ini perkhidmatan ROVR Petronas ini akan dipasang di Kampung Kuala Abai dan hari ini saya akan melawat tapak tersebut bagi menilai kesesuaian lokasi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tempasuk di Dewan Al-Arsad, Kampung Kaguraan, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kemudahan di Kuala Abai itu merupakan ROVR kelapan di seluruh negara.

"Buat masa ini, ROVR beroperasi di enam lokasi di Sarawak dan satu di Beaufort, Sabah. Pembukaan ROVR di Kuala Abai ini menjadikan jumlah keseluruhan lapan ROVR bagi kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini juga, ROVR telah mengagihkan 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan, dan keberkesanannya telah terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta ketika situasi kecemasan negara seperti pandemik Covid-19 dan bencana banjir," katanya.

Tambah beliau, kemudahan ROVR banyak dimanfaatkan oleh golongan nelayan di Sabah dan Sarawak yang merupakan antara komuniti terbesar pengguna bahan api diesel.

"Pembukaan ROVR di Kuala Abai ini akan dikendalikan Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud dan ia merupakan satu langkah tepat ke arah merancakkan ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor perikanan dan pertanian.

"Dengan adanya ROVR ini, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus dapat mengurangkan kos operasi harian," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!