Segerakan salur bantuan kepada mangsa ribut di Temerloh - Sultan Pahang

TEMERLOH - Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menggesa supaya bantuan kepada mangsa ribut di daerah ini disalurkan secepat mungkin.
Titah baginda, tindakan mempercepatkan bantuan daripada pihak kerajaan dapat meringankan beban mangsa yang terjejas akibat ribut pada Isnin.
"Saya dimaklumkan RM300 sudah disalurkan dan masih ada lagi RM700.
"Selain itu pihak kerajaan juga akan menyediakan hingga RM5,000 untuk membaiki segala rumah yang mana keadaan rosak.
"Jadi saya berharap semua bantuan dipercepatkan," titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli menyantuni dan menyampaikan sumbangan kurnia kepada mangsa ribut di Temerloh di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di sini pada Jumaat.
Taklimat mengenai ribut itu dipersembahkan oleh Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli.
Dalam majlis sama, baginda juga menyantuni dua keluarga mangsa kemalangan, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman,18, yang maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta Perodua Bezza ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail di sini pada Rabu.
Sebanyak 210 rumah membabitkan 21 lokasi iaitu terdiri kampung dan taman perumahan melibatkan empat mukim di sini terjejas dalam kejadian yang berlaku bermula jam 5 petang pada Isnin.
Titah baginda lagi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dialu-alukan untuk membantu mangsa bencana alam tersebut selain menghargai segala kerjasama serta bantuan semua pihak terlibat.
Sementara itu bagi jururawat, Ratna Mohd, 41 di Taman Pulai Mutiara amat menghargai keprihatinan baginda dan kerajaan yang membantu penduduk terjejas akibat ribut.

Ujarnya, ketika kejadian mencemaskan itu, dia berada dalam ambulans menghantar pesakit ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Hanya tinggal suami dan tiga anak di rumah. Memang risau dibuatnya apabila mendapat panggilan mengenai ribut kira-kira jam 6 petang.
"Lega kerana semuanya selamat walaupun suami mengalami sedikit kecederaan akibat terjatuh ketika kelam-kabut mengalihkan kenderaan," katanya lagi.
Bagi peniaga burger, Habibah Abdul Rahman, 39, pula memberitahu ketika kejadian dia bersama suaminya, Muhammad Nerah Hashim, 40, sedang menyiapkan tempahan pelanggan ketika berniaga di pasar malam Paya Pulai.

"Angin memang terlalu kuat hingga suami dan saya terpelanting ke tepi longkang.
"Sebaik bangun, saya cuma ingatkan anak-anak kembar perempuan berusia 14 tahun di rumah dan syukur mereka diselamatkan oleh jiran," jelasnya.
Ujarnya, jumlah kerugian dianggarkan lebih RM20,000 termasuk gerai miliknya musnah serta rumahnya di Taman Sri Kerinau yang terjejas akibat ribut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!