Polis siasat penyanyi rap, dua rakan jadi keldai dadah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu pada 3 Jun oleh Kementerian Luar Negeri berhubung tangkapan terbabit.
Menurutnya, penahanan tiga lelaki tempatan itu dibuat pada 27 Mei lalu, dengan rampasan 86kg ganja semasa mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos.
“Hasil pemeriksaan terhadap enam bagasi milik individu terbabit yang dirampas telah menemui 103 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis ganja.
“Hasil siasatan mendapati, dipercayai kesemua mereka akan menaiki penerbangan Thai Airways dari Laos ke Jerman bagi tujuan menghantar bekalan dadah tersebut,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, ketiga-tiga individu itu termasuk seorang penyanyi rap berusia dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun kini ditahan di Penjara Phontong, Vientiane, Laos.
Tambahnya, semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati kesemua individu berkenaan telah keluar dari Malaysia pada 22 Mei 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Semakan daripada pihak counterpart di Thailand mendapati tiada sebarang pergerakan masuk atau keluar dari Thailand pada 22 Mei lalu melibatkan kesemua warga tempatan tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, maklumat yang diperoleh daripada soal siasat terhadap ketiga-tiga individu terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
