Kilang raih ratusan ribu, guna ubi kayu hasilkan produk penjagaan kulit tiruan

BEKASI – Sebuah kilang haram di Babelan, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat diserbu pihak polis selepas didapati menghasilkan produk penjagaan kulit tiruan menggunakan tepung ubi kayu sebagai bahan asas.
Ketua Polis Metro Bekasi, Kombes Mustofa berkata, kilang tersebut dipercayai beroperasi sejak tahun 2023 dan menghasilkan pelbagai produk penjagaan kulit tanpa kelulusan.
“Ia benar, antara bahan digunakan termasuk tepung ubi kayu dan bahan tidak jelas asal-usulnya. Tepung itu digunakan untuk meniru ramuan produk penjagaan kulit tulen,” katanya ketika dihubungi pada Selasa, lapor Detik.com.
Menurut beliau, pemilik kilang berkenaan didapati mempelajari kaedah penghasilan produk tiruan itu menerusi video di YouTube.
“Ramai mangsa tampil membuat aduan apabila muka mereka menjadi panas dan timbul bintik-bintik selepas menggunakan produk terbabit,” ujarnya.
Polis telah menahan lapan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan termasuk pemilik kilang dikenali sebagai SP serta tujuh pekerja lain dikenali sebagai ES, SI, IG, S, AS, UH dan RP.
Kesemua suspek kini ditahan di Lokap Polis Metro Bekasi dan disiasat mengikut Seksyen 435 dan/atau 436 Undang-Undang Kesihatan Indonesia No. 17 Tahun 2023 serta Seksyen 100(2) Undang-Undang No. 20 Tahun 2016 berkaitan Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi.
Hasil siasatan awal mendapati kilang tersebut telah beroperasi hampir dua tahun dengan anggaran keuntungan mencecah 1.2 bilion rupiah atau kira-kira RM312,000, iaitu sekitar RM14,000 sebulan.
“Bahan mentah serta botol dan pelekat label dibeli melalui platform e-dagang. Mereka kemudian menghasilkan produk tiruan tanpa kebenaran pemilik jenama, sebelum dijual secara dalam talian,” kata Mustofa.
Beliau turut menjelaskan modus operandi mereka adalah membeli bahan kimia murah secara dalam talian, mengisi semula ke dalam botol jenama terkenal dan menjualnya kepada pengguna tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.
Kes kini dalam siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan ditahan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

