Pucuk ubi kayu jadi ingatan terakhir suami

Gambar kenangan Nor Hafizah dan anak-anaknya bersama Allahyarham pada Aidilfitri tahun lalu
Gambar kenangan Nor Hafizah dan anak-anaknya bersama Allahyarham pada Aidilfitri tahun lalu
A
A
A

REMBAU - “Arwah sempat kutip pucuk ubi kayu nak bawa balik tapi tak sempat bagi pada saya kerana ALLAH sayangkan dia.”

Demikian luah Nor Hafizah Mohd Sheriff, 40, isteri kepada Shamsul Rizal Ahmad Mustafa, 45, yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Shamsul Rizal Ahmad Mustafa, 45, maut selepas motosikal ditunggang merempuh dua buah kenderaan yang membuat pusingan U.

Nor Hafizah dan anak-anaknya melihat jenazah Allahyarham buat kali terakhir Foto: Ihsan Amalteam Rembau
Nor Hafizah dan anak-anaknya melihat jenazah Allahyarham buat kali terakhir Foto: Ihsan Amalteam Rembau

Menurut Nor Hafizah, Allahyarham ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Senawang.

“Kami duduk jauh di Seberang Batu Hampar, Rembau dan arwah pula bekerja di bengkel di Senawang.

“Kalau arwah tak larat dia akan tidur di bengkel tapi sebelum kejadian kira-kira jam 3 pagi dia hantar mesej beritahu kepalanya sangat sakit dan minta doakan supaya dirinya selamat sampai,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau pada Selasa. Foto: Ihsan Amalteam Rembau
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau pada Selasa. Foto: Ihsan Amalteam Rembau

Bagaimanapun suri rumah yang sedang mengandung anak keenam itu mula berasa tidak sedap hati apabila mesej yang dihantar kepada Allahyarham suaminya itu pada jam 5 pagi tidak berjawab.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pada jam 8 pagi adik iparnya menghubungi memaklumkan yang Allahyarham telah meninggal dunia akibat kemalangan.

“Saya hanya mampu menangis dan terus hubungi adik-beradik minta dibawa ke Hospital Rembau.

“Alhamdulillah arwah selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar pada Selasa. Paling sedih apabila abang saya jumpa satu plastik pucuk ubi kayu di lokasi tempat arwah kemalangan serta begnya yang hanya berisi segugus kunci,” katanya.

Perkongsian Nor Hafizah di Facebook berkenaan pucuk ubi terakhir suaminya.
Perkongsian Nor Hafizah di Facebook berkenaan pucuk ubi terakhir suaminya.

Jelasnya, menjadi kebiasaan buat Allahyarham membawa pulang sayur-sayuran yang dikutip di kebun berhampiran bengkel di mana dia bekerja.

Selain itu katanya, Allahyarham sebenarnya menderita kanser limfoma tahap tiga sejak empat tahun lalu.

“Walaupun tak sihat dia tetap berusaha cari rezeki untuk kami sekeluarga dan pada hari kejadian itu dia tetap nak balik ke rumah walaupun tak sihat kerana mahu menghantar anak-anak ke sekolah.

“Dia memang seorang bapa dan suami yang penyayang dan kali terakhir kami sekeluarga berkumpul adalah pada hari pertama Ramadan yang mana pada waktu itu dia sendiri yang memasak," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan dua buah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal mangsa sedang bergerak terus di lorong kanan dari arah Seremban menuju ke Rembau.

“Apabila sampai di lokasi, motosikal ditunggang mangsa iaitu Suzuki Panther telah terlanggar motosikal Honda EX-5 ditunggangi lelaki berusia 21 tahun yang sedang bergerak membuat pusingan U dari arah bertentangan dan masuk ke laluan mangsa.

“Motosikal mangsa kemudiannya terkena MPV dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga sedang bergerak membuat pusingan U menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut oleh paramedik yang tiba di lokasi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!