Menteri Israel ceroboh al-Aqsa lagi

TEL AVIV - Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir sekali lagi melancarkan provokasi melampau dengan mencemari kesucian Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Jabatan Wakaf Islam yang menguruskan hal ehwal masjid tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan Ben-Gvir melakukan tindakan biadab itu dengan diiringi pihak berkuasa Israel pada Rabu.
Ia merupakan pencerobohan kelapan dibuat menteri sayap kanan tersebut sejak dia menyertai kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada 2022.
Ia jelas satu bentuk 'protes anarkis' selepas Ben-Gvir bersama Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dikenakan sekatan oleh lima negara Barat kerana melakukan hasutan keganasan berulang ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat.
Keputusan bersama dibuat Britain, Australia, Kanada, New Zealand dan Norway itu disifatkan sebagai amaran tegas kepada rejim Tel Aviv berikutan penduduk Palestin di wilayah itu berterusan menjadi sasaran tindakan keganasan pelampau Yahudi yang turut menjejaskan masa depan negara merdeka Palestin.

London menegaskan sekatan itu melibatkan langkah pembekuan aset dan larangan perjalanan yang diumumkan pada Isnin berkuat kuasa serta-merta.
Data sejak Januari 2024 hingga April lalu menunjukkan ekstremis Yahudi telah melancarkan lebih 1,900 serangan ke atas orang awam Palestin di Ramallah.
Keganasan melampau mereka direkodkan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan juga mendapati 32 serangan pelampau Yahudi mengakibatkan kematian atau kecederaan dan kemusnahan harta benda.
Hasut 'perang agama'
Gerakan Hamas dalam satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan terbaharu ke atas al-Aqsa.
“Ia jelas bertujuan menghasut 'perang agama' di tapak suci tersebut. Ben-Gvir sengaja mengundang kemarahan Muslim dan cuba menjejaskan kesucian dan status al-Aqsa,” tegasnya.
Menurutnya, pelanggaran berterusan di masjid ketiga paling suci orang Islam itu mempamerkan keangkuhan kerajaan 'ekstremis' Israel dan hasutan untuk mencetuskan konfrontasi agama.
“Kami memberi amaran tegas terhadap peningkatan tindakan provokasi sama yang dibuat puak pelampau Yahudi meskipun mereka ditegah untuk melakukan sebarang ritual di pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif),” katanya lagi.
Pejuang bumi Gaza itu sekali lagi berikrar bahawa penduduk Palestin akan terus mempertahankan kesucian al-Aqsa dan siap sedia menghadapi sebarang rancangan jahat Israel yang mahu 'meyahudikan' atau membahagikan masjid tersebut.
Sejak beberapa minggu lalu, Israel terus memperhebatkan kempen pencerobohan ke atas al-Aqsa.
Pada awal bulan lalu, ratusan pelampau Yahudi bertindak biadab menceroboh Haram al-Sharif selama dua hari berturut-turut di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Genting Gaza dan Tebing Barat.

Mereka yang diiringi pihak berkuasa Israel memasuki kawasan suci itu melalui Pintu Mughrabi di bahagian Tembok Barat kononnya untuk melakukan ritual sempena perayaan Shavuot.
Tindakan provokatif serupa dibuat pada 26 Mei lalu apabila sekumpulan ekstremis Yahudi di bawah arahan Ben-Gvir menyerbu al-Aqsa ketika memperingati hari pendudukan Kota Lama tersebut pada 1967.
Ia disusuli perkongsian klip oleh Netanyahu yang berada di terowong bawah tanah masjid pertama yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu hingga mengundang kemarahan komuniti Muslim. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

