Kerajaan tanggung kos Dr Mahathir hadir Forum Antarabangsa Nikkei di Jepun

Anwar (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.
Anwar (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM486,000 bagi kos perbelanjaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama delegasi yang menghadiri Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 pada bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu telah membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan menghadiri forum berkenaan yang telah berlangsung di Tokyo, Jepun.

Menurutnya, individu itu sememangnya mempunyai hak untuk membuat permohonan, namun syarat permohonan tersebut perlu diluluskan oleh Perdana Menteri.

Katanya, meskipun sering 'diserang' oleh individu terbabit, beliau masih mempunyai pertimbangan untuk meluluskan peruntukan yang melibatkan bekas perdana menteri itu.

"Jadi orang tanya pasal apa, bayar tak? Ada hak dia memohon, tapi terserah pada Perdana Menteri untuk luluskan dan saya masih meluluskan RM486,000. Saya ingat daripada sembilan orang, saya luluskan tujuh orang.

"Saya tidak mahu ambil sikap yang negatif, walaupun hari-hari serang kita, kita masih luluskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.

Mahathir pada akhir bulan lalu telah menyertai Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 di Tokyo, Jepun yang berlangsung dari 29 hingga 30 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika forum itu, Mahathir turut memberi bayangan bahawa itu mungkin penyertaan terakhir beliau ke forum berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini untuk berfikir secara matang dan mendalam sebelum keluar dari Kabinet.

Ujarnya, biarpun telah menerima surat permohonan bercuti dan peletakan jawatan daripada individu terbabit, namun beliau hanya meluluskan cuti yang diminta sahaja.

"Saya kalau boleh, (mahu) mereka sertai semula Kabinet. Surat dah terima, tapi saya belum terima (atau luluskan) peletakan jawatan mereka," ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau turut mengingatkan kepada semua ketua cabang, ranting dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar tidak menganggap PKR sebagai parti milik peribadi, sebaliknya parti untuk semua.

"Saya sekarang boleh bekerjasama dengan UMNO, sekarang 'peluk-peluk' sebab dia ada masa depan dan agenda besar. Kalau dengan UMNO boleh bekerjasama, inikan pula dengan kawan-kawan kita yang berbeza pendapat," katanya lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!