Tabung bantu mangsa nahas bas penuntut UPSI cecah lebih RM200,000

ALOR SETAR - Inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan tabung kutipan bagi membantu mangsa nahas tragis di Gerik membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengutip lebih RM200,000 setakat ini.
Kejayaan kutipan Tabung Kilat Kemalangan itu dimuat naik menerusi media sosial Facebook: Official Majlis Perwakilan Pelajar UUM pada jam 3.30 petang Khamis.
Berdasarkan kenyataan berkenaan, sebanyak RM200,810.49 berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu.
"Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia sesi 2024/2025 ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UUM dan rakyat Malaysia atas keprihatinan yang ditunjukkan.
"Setakat jam 3 petang hari ini, sebanyak RM200,810.49 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan ikhlas daripada 12,812 penyumbang bagi membantu mangsa kemalangan bas melibatkan penuntut UPSI," kata kenyataan tersebut.
Jelasnya, mana-mana pihak yang ingin menyumbang masih boleh berbuat demikian sebelum ditutup pada Jumaat.
"Tabung akan ditutup pada 13 Jun 2025 jam 12 tengah hari yang merupakan penghulu segala hari selain mengambil keberkatan hari tersebut.
"Semoga segala bentuk sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran terbaik oleh ALLAH SWT dan menjadi asbab kebaikan buat semua," katanya.
Dalam nahas terbabit, seramai 15 penuntut UPSI terkorban apabila bas yang dinaiki mereka dari Jerteh, Terengganu selepas pulang bercuti pada Hari Raya Aidiladha untuk balik ke Tanjung Malim, Perak terbabit kemalangan di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

