Tabung derma kilat bantu bapa mangsa nahas pelajar UPSI

KOTA BHARU – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Kelantan dan Terengganu melancarkan tabung derma kilat bagi membantu seorang pesara tentera yang kehilangan anak dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak pada Isnin lalu.
Tabung kebajikan itu diwujudkan khusus untuk Mohamad Isma Abdul Manaf, seorang pekebun sawit yang juga bekas pelatih Perhebat Sungai Buloh, selepas anak perempuannya, Nur Dalila Farhana, 21, maut dalam kejadian tersebut.
Anak mangsa adalah seorang daripada 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disahkan meninggal dunia dalam insiden yang berlaku semasa perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak.
Pengarah Perhebat Negeri Kelantan, Mejar Sharulanuar Baharom (Bersara) berkata, kutipan sumbangan dijalankan secara spontan sempena Majlis Penyampaian Sijil Perhebat Negeri Kelantan dan Terengganu di Nilam Puri, di sini pada Khamis.
“Kami ambil kesempatan hari ini, dalam suasana penuh kebersamaan, untuk membantu keluarga arwah. Bapa kepada arwah merupakan bekas pelatih Perhebat yang tamat perkhidmatan pada 2019 dan mengikuti kursus spa kenderaan di Sungai Buloh.
“Walaupun dia bukan pelatih di bawah negeri ini, kami tetap prihatin atas nama Perhebat. Kutipan dilakukan secara ikhlas oleh warga Perhebat Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Turut hadir, Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Dr Nor Hayati Yahya manakala Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan negeri Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim yang menyampaikan sijil.
Menurut Sharulanuar, sumbangan tersebut akan disampaikan terus ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Bharu Tok Dor, Jerteh, Terengganu oleh Pengarah Perhebat negeri Terengganu Mejar Syahrul Nizar Ab Wahab (Bersara) dan wakil.
Mengulas lanjut, Sharulanuar menasihatkan bekas anggota ATM agar mendaftar sebagai ahli persatuan veteran sebaik bersara bagi memudahkan urusan kebajikan termasuk bantuan kematian, sakit atau kecemasan.
“Ramai yang lepas bersara tidak daftar dengan mana-mana persatuan.
“Ini menyukarkan kami salurkan maklumat atau bantuan bila berlaku musibah. Kalau daftar, persatuan akan tahu dan bertindak lebih cepat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua warga kerja Perhebat yang menyumbang secara sukarela demi membantu keluarga bekas pelatih.
“Ini bukan kali pertama, sebelum ini, kami pernah salur bantuan kepada pelatih yang terlibat dalam kemalangan di Lojing.
“Ini adalah komitmen kami terhadap kebajikan bekas anggota,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!