Tak sempat makan ikan patin terakhir

Yusnani menunjukkan gambar arwah anaknya, Nur Erdina Shaffiya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada Khamis.
Yusnani menunjukkan gambar arwah anaknya, Nur Erdina Shaffiya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada Khamis.
A
A
A
TEMERLOH-Hasrat seorang sukarelawan Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menjamu ikan patin buat kali terakhir tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, bersama rakannya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang membawa dadah ketika berhenti di lampu isyarat terbabit.

Ibu mangsa, Yusnani Mohamad Yusof, 46, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu keluar untuk makan bersama rakannya sebelum menaiki kereta api ke Dabong, Kelantan, awal pagi Khamis.

"Arwah nak rasa sikit, tapi tak cukup. Saya beli sikit untuk neneknya. Saya cakap nanti ibu belikan lagi... tapi dia diam saja. Rupa-rupanya itu permintaan terakhir dia," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada Khamis.

Jelasnya, arwah baru pulang dari kerja sambilan sebagai promoter minyak wangi di sebuah pasar raya di bandar Temerloh sebelum keluar makan malam bersama rakannya, Aneez Irdiena Sofya, di bandar terbabit.

“Lepas habis kerja, dia balik rumah sekejap, mandi... lepas itu keluar dengan kawan dia nak makan dekat pasar raya. Dah makan nanti balik rehat, lepas itu pergi naik kereta api,” katanya yang reda walaupun sedih dengan kehilangan anaknya.

Menurutnya, Nur Erdina Shaffiya juga seorang anak yang baik, tidak banyak kerenah dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.

Yusnani, yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am memaklumkan bahawa anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!