Bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan

KUALA SELANGOR – Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan di perairan Kuala Selangor pada Rabu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan kelas C itu ditahan kira-kira jam 9.50 malam oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin.
"Bot berkenaan dikesan berada pada kedudukan 4.4 batu nautika barat daya Kuala Selangor dan ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
"Bot terbabit didapati dikendalikan oleh seorang tekong berumur 39 tahun bersama dua kru masing-masing berumur 37 dan 53 tahun serta semakan mendapati kesemua individu berkenaan merupakan warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 12 batu nautika dari daratan, sekali gus melanggar syarat sah lesen vesel kelas C.
"Kesemua kru bersama bot dan hasil tangkapan ikan campur seberat 150 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen," katanya.
Beliau berkata, orang awam diminta agar menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan serta insiden kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

