Dua beradik kembar cabar diri sertai UTK

Dua beradik kembar antara 36 pelatih yang menerima anugerah beret UTK di Bukit Aman, pada Khamis.
Dua beradik kembar antara 36 pelatih yang menerima anugerah beret UTK di Bukit Aman, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahu cabar diri menjadi pendukung dua beradik kembar untuk menyertai pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Unit Tindakan Khas (UTK).

Pasangan beradik lelaki berusia 24 tahun berpangkat Konstabel, dikenali Faiz dan Farhan itu antara 36 pelatih yang berjaya menamatkan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025.

Menurut Faiz, atau nama panggilannya Tomoi, dia amat meminati badan beruniform PDRM sejak zaman sekolah.

"Kami berdua merancang untuk masuk polis selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian selepas berkhidmat selama tiga tahun, kami merancang pula untuk sertai UTK.

"Sebelum ini saya bertugas sebagai pemandu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang dan mahu mencabar diri untuk sertai pasukan khas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Beret UTK di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan), Deputi Komisioner M V Srikumar Madhavan Nair.

Sementara itu, bagi Faiz atau panggilannya 2-Wing, yang juga bekas jurulatih kawad di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa akui ada rasa mahu putus asa semasa menyertai kursus itu.

M V Srikumar beramah mesra dengan pegawainya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Beret UTK dan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman pada Khamis.
M V Srikumar beramah mesra dengan pegawainya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Beret UTK dan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman pada Khamis.

"Secara jujurnya, ada rasa nak give up, tapi sebab kembar saya ada, itu terus beri semangat. Bila kami 'down', antara kami akan beri semangat untuk capai sasaran ini," kata jejaka berasal dari Bachok, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, satu-satunya pelatih wanita yang menerima penganugerahan beret UTK ini ialah Inspektor Intan.

Pegawai berusia 29 tahun, berasal dari Bagan Serai, Perak itu berkata, dia mula berminat dengan pasukan UTK ini semasa melihat montaj yang ditayangkan ketika dirinya mula menjalani latihan di Pulapol bermula Mac 2024.

"Selepas tamat latihan di Pulapol, saya sempat bertugas selama sebulan sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang sebelum menyertai latihan UTK.

"Sepanjang jalani latihan UTK, tipu la cakap kalau tidak rasa hendak patah balik. Tapi sebab kawan-kawan lelaki di sini bantu beri semangat. Dugaan hanya seorang perempuan tidak mudah," ujar anak sulung daripada lima beradik.

Tambah Intan, beliau akan melaksanakan tanggungjawab yang terbaik untuk ibu dan ayah serta sebagai warga PDRM.

"Saya teruja hendak mulakan tugas, sebab ini yang saya mahukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!