Penguatkuasaan lemah, cuai

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI. Gambar kecil: Shahul Hamid
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI. Gambar kecil: Shahul Hamid
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan penguatkuasaan yang lemah dan cuai punca pemandu kenderaan pengangkutan awam yang mempunyai rekod saman tertunggak masih dibenarkan memandu.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

“Ini satu kecuaian yang amat serius dan tidak sepatutnya berlaku. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang, malah keselamatan pengguna jalan raya lain turut terancam,” katanya pada Rabu.

Jelas Shahul Hamid, Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi agensi masing-masing iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) perlu meminda akta berkaitan agar penguatkuasaan lebih tegas dapat dilakukan dengan segera termasuk penggantungan lesen memandu.

“Kalau tidak dikenakan tindakan tegas, pemandu ini akan terus melakukan kesalahan. Mereka tahu boleh tunggu sehingga kerajaan umumkan diskaun saman.

“Mereka tidak takut dan tidak ambil pengajaran. Kalau terpaksa bayar saman, mereka akan fikir dua kali sebelum melakukan kesalahan tetapi sekarang, saman bertimbun pun mereka tidak kisah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) diaktifkan semula dan dikuatkuasakan secara serius.

“Kalau mata kesalahan sudah melebihi had, lesen memandu perlu digantung serta-merta. Jangan tunggu sehingga kemalangan berlaku baru mahu ambil tindakan. Sistem ini dah ada, kenapa tidak digunakan dengan tegas?” soal beliau.

Ujarnya, jika aspek perundangan dan penguatkuasaan terus dipandang ringan oleh pihak berkaitan, kemalangan serta nyawa akan terus melayang di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tiba masanya semua pihak serius dalam menangani isu ini dan tidak sekadar bercakap setiap kali kemalangan berlaku tanpa sebarang tindakan susulan,” katanya.

Dalam masa sama, Shahul Hamid turut mencadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula penggunaan palang besi di bahu jalan dan pembahagi jalan yang sering menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kemalangan.

“Saya perhatikan dalam banyak kes, palang besi ini menjadi punca kematian ngeri apabila kenderaan terbabas dan besi itu tercucuk masuk ke dalam kenderaan.

“Mungkin JKR boleh fikirkan penggunaan bahan lain seperti getah atau bahan yang mampu menyerap hentakan bagi mengurangkan risiko kematian,” katanya.

Terdahulu PDRM mendedahkan sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang terlibat dalam nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit.

Daripada jumlah itu, 13 merupakan saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!