Perak cadang tambah baik, jajaran baharu JRTB - MB

Saarani akan mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri.
Saarani akan mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai penambahbaikan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) termasuk mempertimbangkan pembangunan jajaran baharu bagi menggantikan laluan sedia ada.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sudah tiba masanya kajian lebih terperinci dilakukan mengenai laluan berkenaan yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan.

"Perkara itu (cadangan menambah baik laluan JRTB) telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan pada Rabu. 

"Saya telah meminta Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan kertas kerja berhubung perkara berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Eksport Perak 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini pada Rabu. 

Saarani.
Saarani.

Saarani berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal mengadakan lawatan kerja ke Lumut pada Ahad ini.

"Sebahagian jalan di JRTB memang sudah nampak dasar, nampak tanah. Tidak boleh tampal. Sebab itu kita minta Datuk Seri Nizar menyediakan apa yang perlu dibuat dari segi jajaran, pelebaran, bahan binaan dan semua keperluan termasuklah lampu jalan serta garisan putih," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengemukakan cadangan menaik taraf Hospital Gerik termasuk keperluan menambah kemudahan berkaitan di sepanjang laluan JRTB.

"Apabila berlaku insiden besar, Hospital Gerik itu tidak cukup untuk menampung kalau jumlah (pesakit) terlampau ramai serta Kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbangkan kemudahan lain seperti balai polis atau bomba bergerak di sekitar laluan JRTB," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin lepas, 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB. - Bernama 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!