Nur Syifa Iffiya perlukan dana RM120,000 bedah jantung

BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan baru lahir, Nur Syifa Iffiya Mohd Shafarid Iqbal, memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Bayi dari Padang Serai, Kedah itu merupakan penghidap masalah jantung kongenital yang dikesan sejak dilahirkan pada 26 Mei lalu.
Ibunya, Nur Shuhada Mohd Yusoff, 34, berkata, Nur Syifa Iffiya mengalami kebiruan pada seluruh badan dan kekurangan oksigen dua jam selepas dilahirkan sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk diberikan bantuan oksigen.
Menurutnya, pemeriksaan terperinci oleh doktor mendapati bayinya menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA), Atrial Septal Defect (ASD) dan Patent Ductus Arteriosus (PDA).
“Kata doktor, keadaan itu menyebabkan bayi saya perlu bergantung kepada ubat untuk mengekalkan tahap oksigen dan masih dirawat di NICU.
“Justeru, doktor memaklumkan bahawa dia perlu menjalani pembedahan dalam tempoh sebulan selepas kelahiran. Jika ditangguhkan, fungsi jantung akan terus merosot dan peluang untuk terus hidup juga semakin rendah,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Nur Shuhada berkata, dia dan suaminya, Mohd Shafarid Iqbal Shehidan, 33, terpaksa merayu bantuan orang ramai kerana kos pembedahan yang terlalu tinggi iaitu sebanyak RM120,000.
“Kami amat berterima kasih atas bantuan penderma untuk memastikan anak bongsu kami dapat menjalani pembedahan segera,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana tersebut selepas pasangan berkenaan tampil ke pejabatnya di sini baru-baru ini.
“Bapa dan ibu Nur Syifa Iffiya yang bekerja sebagai juruteknik hanya mampu mengeluarkan kos RM7,000 daripada keseluruhan jumlah yang diperlukan.
“Pasangan itu turut mempunyai dua orang anak lelaki berusia tujuh dan empat tahun,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

