Bayi usia sebulan hidap kecacatan jantung perlu dana RM120,000

Nathalie (kiri) diterbangkan dari Sarawak untuk menjalani pembedahan di ibu negara. Pegawai One Hope Charity & Welfare (kanan) ketika melawat bayi berkenaan.
Nathalie (kiri) diterbangkan dari Sarawak untuk menjalani pembedahan di ibu negara. Pegawai One Hope Charity & Welfare (kanan) ketika melawat bayi berkenaan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi perempuan yang mengalami kecacatan jantung kongenital memerlukan bantuan dana RM120,000 bagi menjalani pembedahan segera.

Bayi malang itu, Nathalie Amanda Anak Ningkan yang baru berusia sebulan berasal dari Bau, Sarawak didapati mengalami masalah kesukaran bernafas sejurus dilahirkan.

Menurut Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, tahap oksigen dalam tubuh Nathalie menurun secara mendadak sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan.

“Doktor mengesahkan bayi ini menghidap beberapa masalah jantung serius termasuk transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum ventrikel (VSD), penyempitan aorta dan hipoplasia aorta.

“Pembedahan jantung dengan segera perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa anak tunggal pasangan berusia 38 dan 36 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sui Hau berkata, pembedahan perlu dilaksanakan di hospital pakar di Semenanjung, namun keluarganya tidak mampu menampung perbelanjaan keseluruhannya berjumlah RM120,000.

Beliau berkata, pihaknya cuba membantu mengumpul dana daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan.

“Sebahagian lagi iaitu kos penerbangan ibu dan bayi ke Semenanjung ditampung pihak hospital di Sarawak manakala kos perjalanan dan penginapan ditanggung sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Bapa bayi, Ningkan Anak Dickie berusia 36 tahun bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan kecil manakala isteirnya, Norline Anak Saban, 38, tidak bekerja selepas bersalin,” katanya.

Dalam pada itu, Sui Hau berkata, disebabkan keadaan mendesak, Nathalie selamat diterbangkan dari Kuching, Sarawak ke ibu negara untuk menjalani pembedahan.

Orang ramai berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun 3201428817 Public Bank Bhd atas nama One Hope Charity & Welfare.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!