Peningkatan 35 peratus kemalangan motosikal di PJ sejak Januari

Antara penunggang motosikal yang dikenakan tindakan saman dalam Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Rabu.
Antara penunggang motosikal yang dikenakan tindakan saman dalam Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA – Menunggang di lorong yang tidak dibenarkan dan mengekori kenderaan terlalu rapat dikenal pasti antara punca utama peningkatan jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, sebanyak 204 kes kemalangan melibatkan motosikal direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 151 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 53 kes atau 35.1 peratus.

"Sehingga Mei 2025, sebanyak 34 kematian melibatkan penunggang motosikal telah direkodkan. Sepanjang tahun 2024 pula, jumlah keseluruhan kematian adalah 52 kes," katanya dalam sidang akhbar sempena Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, antara punca utama kemalangan dikenal pasti ialah menunggang di laluan tidak dibenarkan seperti lorong kecemasan dan lorong kanan, mengekori kenderaan terlalu rapat, gagal mengawal motosikal serta faktor keletihan dan mengantuk.

“Waktu paling banyak kemalangan dicatatkan adalah antara jam 6 hingga 8 pagi, dan majoriti melibatkan penunggang berumur antara 16 hingga 40 tahun,” ujarnya.

Shahrulnizam turut memaklumkan bahawa kes kemalangan maut dan cedera parah kekal sama iaitu masing-masing dua dan sifar kes, namun kemalangan ringan meningkat kepada dua kes berbanding sifar dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 45,958 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan melanggar lampu isyarat,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melalui Op Motosikal bagi membendung isu kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal.

Tambah beliau, semua pengguna jalan raya diseru agar sentiasa berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian menjelang tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!