Lelaki dakwa terima gangguan seksual oleh penjual belon di Genting Highlands
Polis belum terima laporan polis setakat ini

BENTONG - Polis masih belum menerima laporan ekoran tular dakwaan seorang lelaki berdepan gangguan seksual daripada penjual belon di Genting Highlands.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, video berdurasi tiga minit lapan saat itu dimuat naik individu terbabit di platform media sosial TikTok.
Menurut Zaiham, pihaknya mengesan klip video terbabit kira-kira jam 10.30 malam pada Selasa.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang laporan polis diterima setakat Rabu mengenai insiden tersebut.
"Kita memohon pemilik akaun TikTok terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, dalam video dimuat naik pemilik TikTok tersebut, individu itu mendakwa dipanggil lelaki lain iaitu peniaga yang ingin memberi belon percuma dan mengajaknya ke sebuah bilik untuk memberi makanan.
Ketika dalam bilik, individu terbabit mendakwa diberikan pisang goreng oleh peniaga terbabit dan meminta supaya menunjukkan sesuatu dipercayai kemaluan serta dijanjikan RM50, namun berjaya keluar menyelamatkan diri.
Ujarnya, semakan awal polis terhadap beberapa kandungan akaun pemilik TikTok tersebut juga mendapati ada beberapa kejadian hampir sama dan menjadi mangsa perlakuan jenayah di lokasi lain.
"Jika saya dapati ada unsur-unsur tidak benar, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.
"Isu keselamatan tidak boleh dibuat main-main kerana tindakan individu berkenaan memberikan persepsi negatif dan kegusaran awam," katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang mengalami kejadian sama supaya menghubungi atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga boleh melaporkan sekiranya menjadi mangsa supaya siasatan terperinci dapat dijalankan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

