Seleweng minyak peket guna khidmat kurier

Jegan (kanan) melihat minyak masak peket yang cuba diseleweng pemborong menggunakan perkhidmatan kurier ketika serbuan di sebuah gudang kurier di Kampung Sungai Puyu. Foto Bernama
Jegan (kanan) melihat minyak masak peket yang cuba diseleweng pemborong menggunakan perkhidmatan kurier ketika serbuan di sebuah gudang kurier di Kampung Sungai Puyu. Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengesan taktik baharu cubaan menyeleweng minyak masak peket oleh pemborong menggunakan khidmat kurier selepas menyerbu sebuah gudang di Kampung Sungai Puyu di sini pada Selasa.

Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata, serbuan pada jam 1.30 tengah hari itu menyaksikan 14,280 paket minyak masak satu kilogram yang ditemukan disimpan di dalam gudang tersebut dirampas manakala sebuah lori dan dokumen berkaitan disita dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM204,500.

Beliau berkata, serbuan menerusi Op Tiris 3.0 itu dilakukan hasil intipan dan risikan selama tiga bulan selepas menghidu aktiviti mencurigakan oleh syarikat pemborong itu.

"Siasatan awal mendapati syarikat pemborong ini menggunakan khidmat kurier untuk menghantar minyak masak bersubsidi dalam kuantiti yang banyak ke satu lokasi beralamat di Perlis.

"Minyak masak tersebut dibawa ke gudang kurier ini menggunakan sebuah lori yang kita dapati penghantaran dibuat dua kali sebulan ke sini,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Jegan berkata, susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang merupakan pemandu lori syarikat tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau dokumen kebenaran yang sah bagi menjalankan aktiviti urus niaga, penyimpanan atau penggunaan barang kawalan berjadual.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mengesyaki minyak masak tersebut cuba diseludup ke sempadan namun siasatan lanjut masih dijalankan selain akan bekerjasama dengan KPDN Perlis bagi mengesan lokasi minyak masak itu dihantar.

"Sesiapapun boleh hantar barang ke gudang ini kerana ia menyediakan perkhidmatan menghantar barang tetapi barangan kawalan dalam kuantiti yang besar perlu ada permit untuk menyimpan.

"Jadi kita ingin menasihati jika mereka terima barangan kawalan dalam jumlah seperti ini, sila lapor kepada KPDN,” katanya.

Jegan juga berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini dan rantaian pengedaran minyak masak tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!