Lagi penduduk Gaza jadi korban 'perangkap maut'

Penduduk Gaza yang terdesak mahu mendapatkan bantuan terus menjadi sasaran kezaliman Zionis sejak GHF mula beroperasi pada akhir bulan lalu.
Penduduk Gaza yang terdesak mahu mendapatkan bantuan terus menjadi sasaran kezaliman Zionis sejak GHF mula beroperasi pada akhir bulan lalu.
A
A
A

GENTING GAZA – Hampir 20 penduduk Palestin terkorban selepas tentera Israel sekali lagi melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang nekad menghampiri hab bantuan disokong Amerika Syarikat (AS), Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), di tengah Genting Gaza pada Selasa.

Pasukan perubatan memaklumkan lebih 100 orang turut cedera dalam kejadian keganasan terbaharu itu.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke dua hospital, iaitu Hospital al-Awda di Kem Pelarian Nuseirat dan Hospital al-Quds di Bandar Gaza,” ujar jurucakap berkenaan.

Insiden itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel menembak mati sekurang-kurangnya 14 penduduk Palestin yang berkumpul di pusat bantuan GHF di Rafah, selatan wilayah tersebut.

Pada minggu lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah melarang penduduk Palestin daripada menghampiri laluan menuju ke GHF antara jam 6 petang hingga 6 pagi (waktu tempatan) kerana kawasan itu ditutup sebagai zon tentera dalam tempoh tersebut.

Sebelum ini, agensi antarabangsa percaya pusat bantuan tersebut telah dijadikan ‘perangkap maut’ oleh rejim Zionis untuk membunuh penduduk Gaza yang semakin terdesak akibat kelaparan.

Keganasan terbaharu itu menjadikan jumlah korban ‘jerat maut’ tersebut meningkat kepada lebih 110 orang, manakala mangsa cedera melebihi 1,000 orang sejak 27 Mei lalu. – Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!