Kastam rampas barangan seludup bernilai lebih RM16 juta

Siti Mang (kanan) menunjukkan kotak-kotak berisi dada ayam beku dalam kontena bernilai RM326,760 yang berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar selepas mengadakan sidang media pada Selasa. Foto Bernama
Siti Mang (kanan) menunjukkan kotak-kotak berisi dada ayam beku dalam kontena bernilai RM326,760 yang berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar selepas mengadakan sidang media pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SEPANGGAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga jenis barangan yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar bernilai RM16.66 juta bulan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Siti Mang berkata, rampasan itu melibatkan minuman keras yang dimuatkan dalam 33 buah kontena dianggarkan bernilai RM3.9 juta.

"Cukai dianggarkan bernilai RM11.866 juta yang dirampas antara 14 hingga 29 Mei selepas didapati mengikrarkan barangan dagangan sebagai produk aluminium," katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Selasa.

Siti berkata, JKDM juga turut merampas 28,008 kilogram (kg) produk ayam beku dengan anggaran nilai RM233,400 dan cukai RM93,360 ditemukan dalam sebuah kontena yang diikrarkan sebagai produk sayur beku pada 16 Mei.

Pada 29 Mei pula, JKDM Sabah merampas 150,000kg beras pulut dan wangi yang ditemukan dalam sebuah kontena dengan anggaran nilai RM356,250 dan cukai RM142,500.

"Beras ini diikrarkan sebagai beras hancur untuk makanan haiwan bagi mengelak keperluan permit import dan cukai," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Siti berkata, barangan berkenaan diimport dari luar negara untuk pasaran tempatan, dipercayai dikendalikan oleh sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan.

Beliau menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam di 1-800-88-8855. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!