Kastam rampas rokok seludup, minuman keras tak bercukai bernilai RM1.31 juta

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai bernilai RM1.31 juta dalam tiga rampasan berasingan baru-baru ini.
Kesemua rampasan itu dilakukan di tiga daerah berasingan iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, rampasan pertama melibatkan minuman keras yang ditemui di dalam tiga kontena yang mendarat di Pelabuhan Sepanggar.
"Hasil pemeriksaan pada kontena tersebut menemui sebanyak 8,100 karton minuman keras pelbagai jenama yang telah diimport tanpa permit yang sah.
"Nilai keseluruhan minuman keras yang disita dianggarkan RM243,136.08 dengan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM994,612.62," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes kedua dan ketiga pula melibatkan penyeludupan rokok dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai sebanyak RM70,176.
"Dalam serbuan tersebut, sepasukan pegawai kastam telah melakukan pemeriksaan di kedai runcit dan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jagung, Merotai Besar, Tawau dan hasil pemeriksaan menemui rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai lebih RM3,000.
"Hasil siasatan mendapati modus operandi adalah pemilik barang telah membuat pengikraran yang tidak betul dan menyembunyikan barang larangan di lokasi tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Kes ketiga pula melibatkan serbuan di sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Tepian, Semporna dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok yang disimpan di dalam kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya.
Sehubungan itu, Siti berkata, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!