Maxim Malaysia nafi beroperasi secara haram, kemuka rayuan kepada APAD

KUALA LUMPUR – Syarikat e-hailing, Maxim Malaysia telah mengemukakan rayuan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung dakwaan pihaknya beroperasi secara haram dan pemandunya melanggar syarat pelesenan.
Pengarahnya, Mohd Hazwan Musley berkata, segala pindaan dan peraturan yang dikenakan akan dipatuhi sepenuhnya bagi membolehkan syarikat terus beroperasi di negara ini.
Tegas beliau, pemandu yang memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah sahaja dibenarkan untuk mengambil tempahan serta menggunakan perkhidmatan Maxim Malaysia.
“Ini bermakna setiap perjalanan diyakini selamat, boleh dipercayai, mudah, dan selesa untuk pelanggan. Kami bahkan membantu pemandu dalam urusan pemilikan lesen sah PSV serta EVP.
“Sebagai langkah keselamatan tambahan, aplikasi Maxim menyediakan ruang sembang dalaman termasuk fungsi penjejakan perjalanan agar pelanggan boleh berkongsi lokasi secara langsung dengan ahli keluarga atau rakan.
“Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, kami turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengadakan seminar dan kempen di pusat memandu,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa, selaku wakil agensi untuk membincangkan tentang permohonan rayuan Maxim Malaysia.
Pada Mei lalu, kerajaan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia iaitu InDrive dan Maxim untuk menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memberitahu bahawa surat pemberhentian operasi kepada kedua-dua aplikasi berkenaan juga dihantar oleh pihak APAD.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua syarikat e-hailing terbabit boleh mengemukakan rayuan dan ia hanya boleh diputuskan oleh beliau selaku menteri.
Sementara itu, Ketua Pematuhan Undang-undang Maxim Malaysia, Chowdhury Mushfique Ahmed memaklumkan, lebih separuh daripada pemandu berdaftar menjadikan syarikat sebagai platform menjana pendapatan harian, berdasarkan kajian dalaman.
Malah jelasnya, secara puratanya Maxim Malaysia menyumbang sehingga 80 peratus dalam pendapatan bulanan pemandu.
Tambahnya lagi, pihaknya juga merupakan syarikat yang membayar cukai dan membantu mewujudkan pasaran kompetitif di negara ini.
“Ia secara langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara selain menjadikan perkhidmatan pengangkutan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya pelajar dan golongan kelas pertengahan.
“Sejak mula beroperasi di Malaysia pada 2019, kami berhasrat menyediakan perkhidmatan pelanggan terbaik dan membantu membentuk pasaran e-hailing yang lebih optimum.
“Justeru, Maxim Malaysia memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa mematuhi undang-undang negara dan bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

