Selepas didakwa bunuh isteri, penganggur dituduh pula bakar sembilan kenderaan

Tertuduh diiringi polis di Mahkamah Sesyen Muar pada Selasa.
Tertuduh diiringi polis di Mahkamah Sesyen Muar pada Selasa.
A
A
A

MUAR – Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak atas pertuduhan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir, minggu lalu, seorang penganggur dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Muar atas sembilan pertuduhan melakukan khianat.

Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, bagaimanapun hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Khairul didakwa melakukan khianat dengan membakar sembilan kenderaan milik isteri dan abang iparnya di kawasan rumah mertuanya di Kampung Pengkalan, Kampung Durian Chondong, pada 3 Jun lalu.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama serta pertuduhan kelima hingga kesembilan, yang melibatkan pembakaran enam kenderaan termasuk dua pacuan empat roda (4WD), sebuah SUV, kereta dan motosikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong dan Kebun Durian, Kampung Teratai 2, Sagil antara jam 4.36 pagi hingga 6.46 pagi pada tarikh kejadian.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan membakar dua motosikal dan sebuah kereta di lokasi yang sama.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi sebutan semula kes dan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kerana tertuduh juga sedang menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai depan bagi fakta kes, hukuman, serahan dokumen serta lantikan peguam bagi pertuduhan yang tidak diakui tertuduh.

Untuk rekod, Mohamad Khairul turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak, pagi tadi atas pertuduhan membunuh isterinya, Iecah Junus, 34, dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

Tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!