'Bukan tidak reda tapi sukar terima hakikat cara kematian Iecah' - Bapa

Junus (duduk, kiri) tidak dapat mengawal kesedihannya melihat jenazah Allahyarham anaknya dikebumikan. Gambar kecil: Iecah
Junus (duduk, kiri) tidak dapat mengawal kesedihannya melihat jenazah Allahyarham anaknya dikebumikan. Gambar kecil: Iecah
A
A
A

TANGKAK - Luluh hati seorang bapa apabila melihat anak perempuannya 'pergi' dengan cara tragis selepas menjadi mangsa kelar suami sendiri dalam satu kejadian di Bukit Gambir, Isnin lalu.

Junus Kassim, 74, berkata, dia masih sukar menerima hakikat kematian anaknya, Iecah, 34, kerana cara pemergiannya amat menyayat hati.

“Kalau dia meninggal sebab sakit, saya boleh terima lagi tapi, ini dia pergi dalam keadaan sebegitu. Itulah yang buatkan saya tidak boleh terima,” katanya sebak sejurus menatap wajah arwah yang tiba di rumahnya kira-kira jam 6.45 petang.

Junus yang tidak dapat mengawal kesedihannya selepas melihat jenazah Allahyarham terpaksa dipapah ahli keluarga dan ditenangkan.

Begitu juga ibunya, Fatimah Seman, 63, turut tidak dapat menahan sebak dan menangis sebaik diberi peluang menatap wajah anak kedua daripada empat beradik itu buat kali terakhir.

Dalam suasana pilu, air mata mengiringi majlis pengebumian Allahyarhamah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, di sini.

Jenazah yang tiba dari Melaka kira-kira jam 6.45 petang itu disembahyangkan di kediaman ibunya selepas maghrib.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan oleh kecederaan kelar pada bahagian leher.

Sebelum ini, suami kepada wanita berkenaan direman tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa depan oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Artikel Berkaitan:

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Lee Kim Keat, selepas permohonan dilakukan pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 dan 435 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!