[VIDEO] Suami didakwa bunuh isteri, tersenyum keluar dari mahkamah
TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Tiada pengakuan direkodkan daripada seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir minggu lalu.
Bagaimanapun, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Lee Kim Kiat setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Khairul Azmi dituduh membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, pada 2 Jun 2025 antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang di Taman Cahaya, Bukit Gambir.
Oleh itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Amirah Sapian sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan tarikh 8 Julai ditetapkan bagi keputusan ujian patologi dan DNA.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan dikawal ketat anggota polis dari bahagian siasatan jenayah.
Sejurus keluar dari mahkamah, tertuduh hanya tersenyum sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), menuju ke Mahkamah Sesyen Muar bagi berdepan sembilan lagi pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib dalam kenyataan pagi ini memaklumkan tertuduh juga dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Muar pada Selasa mengikut Seksyen 435 kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar sembilan buah kenderaan di pekarangan rumah mertuanya di Kampung Pengkalan Kampung Durian Chondong, dekat sini 3 Jun lalu.
Suspek juga telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!