10 pemain tinggalkan Manchester United

MANCHESTER United secara rasmi mengumumkan bahawa 10 pemain akan meninggalkan kelab tersebut selepas tidak disambung kontrak bagi musim akan datang.
Dalam senarai pemain yang dilepaskan dan dikekalkan yang dikeluarkan oleh kelab, beberapa nama besar menjadi perhatian antaranya Christian Eriksen, Jonny Evans dan Victor Lindelof yang tidak ditawarkan kontrak baharu.
Lindelof menamatkan kariernya di Old Trafford selepas lapan tahun berkhidmat bersama The Red Devils. Pemain pertahanan Sweden itu menyertai United dari Benfica pada 2017 dan telah membuat 284 penampilan, serta memenangi Piala FA dan Piala Liga bersama kelab.
Evans pula menamatkan penggal keduanya bersama kelab selepas menyertai semula secara percuma pada 2023, selepas beraksi bersama West Brom dan Leicester City.
Pemain berusia 36 tahun itu telah bermain sebanyak 241 kali untuk United dan kini dikaitkan dengan perpindahan ke Wrexham.
Eriksen yang menyertai United secara percuma dari Brentford pada 2022 selepas pulih daripada serangan jantung pada Euro 2021, juga dilepaskan. Pemain tengah Denmark itu telah membuat 108 penampilan, menjaringkan lapan gol dan mencipta 19 bantuan jaringan.
Penjaga gol veteran, Tom Heaton, juga dalam senarai yang bakal meninggalkan kelab jika rundingan lanjutan kontraknya gagal mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun, kelab memaklumkan bahawa perbincangan mengenai lanjutan kontrak sedang berlangsung dan jika berjaya, beliau akan kekal untuk musim 2025/2026. Heaton turut terlibat dalam jelajah pasukan ke Asia baru-baru ini.
Turut dilepaskan ialah enam pemain muda iaitu Hubert Graczyk, Jack Kingdon, Sam Murray, Tom Myles, James Nolan dan Tom Wooster.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
