Penjelasan SKMM jernihkan kekusutan rakyat

Orang ramai tidak perlu bimbang tentang risiko kebocoran data peribadi kerana MPD tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu. Foto hiasan
Orang ramai tidak perlu bimbang tentang risiko kebocoran data peribadi kerana MPD tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu. Foto hiasan
A
A
A

HEBOH di media sosial sejak kebelakangan ini apabila laporan akhbar antarabangsa, South China Morning Post, mendakwa kerajaan telah mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan rekod panggilan dan penggunaan internet bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Kebanyakan pengguna media sosial mula bimbang jika data peribadi menerusi telefon pintar masing-masing dibocorkan atau rekod sulit ‘dijual’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak membiarkan dakwaan itu tersebar lebih meluas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera mengeluarkan kenyataan balas menafikan sebarang arahan penyerahan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet pelanggan kepada syarikat telekomunikasi yang kononnya membolehkan suruhanjaya itu mengakses maklumat peribadi pengguna.

Pada masa sama, empat syarikat telekomunikasi (telco) utama negara iaitu Telekom Malaysia (TM), U Mobile, CelcomDigi dan Maxis, menerusi kenyataan media berasingan, memaklumkan bahawa data yang dikemukakan kepada SKMM hanya berbentuk anonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Terbaharu, SKMM menerusi satu majlis taklimat mengesahkan kenyataan empat syarikat telco tersebut bahawa data yang diperoleh telah dinyahidentiti atau bersifat anonim, sekali gus tidak mendedahkan maklumat peribadi pengguna.

Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin menjelaskan bahawa perkongsian data telefon bimbit (mobile phone data, MPD) tanpa identiti pengguna dengan SKMM tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Menurut beliau, tujuan pengumpulan MPD adalah untuk kegunaan statistik nasional semata-mata dan bukan bertujuan untuk sebarang agenda lain.

Zurkarnain berpandangan, ini merupakan satu transformasi besar dalam kaedah pengumpulan data dan rakyat wajar menyokong pelaksanaannya.

Ini kerana, katanya, sudah tiba masanya data dimanfaatkan dalam bentuk digital dan melalui analitik data raya (big data analytics) berbanding kaedah soal selidik secara konvensional.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan juga, banyak negara maju telah melaksanakan pendekatan sedemikian dan ia bukan sesuatu yang baharu atau luar biasa.

Zurkarnain turut menjelaskan bahawa semua syarikat telco diberi dua pilihan — sama ada memproses data MPD secara dalaman dan menyerahkan hanya output yang telah dianonimkan kepada SKMM, atau menyerahkan data dinyahidentiti untuk diproses oleh SKMM sendiri.

Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang tentang risiko kebocoran data peribadi kerana MPD tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.

Ia diibaratkan seperti melihat peta panas pergerakan pengguna, bukan mengenal pasti ‘siapa’ yang bergerak dan di mana keberadaannya.

Apa yang lebih penting kini adalah pemahaman masyarakat bahawa data tersebut membantu kerajaan merancang dasar dengan lebih berkesan — contohnya memperluas jaringan internet di kawasan pedalaman atau merancang sistem pengangkutan awam berdasarkan corak pergerakan sebenar rakyat.

Sebagai pengguna bijak, kita wajar sentiasa cakna dan kritis terhadap isu data, namun tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan naratif tidak berasas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!