[VIDEO] Peniaga martabak sanggup jual rumah demi tunai haji

A
A
A

MAKKAH – Seorang peniaga martabak sanggup menjual rumah bagi membolehkan dia dan isteri ke Tanah Suci menunaikan haji.

Yahya Che An, 71, yang berniaga di Batang Kali, Selangor berkata, beliau nekad menjual satu daripada dua rumah miliknya bagi merealisasikan impian yang dipendam selama 15 tahun bersama isteri, Nor Aini Abdullah, 66.

Katanya, selain duit jual rumah, dia juga bersyukur dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan duit titik peluh hasil bekerja sebagai pemandu lori dan berniaga martabak di tepi jalan.

“Pak cik sanggup hilang harta dunia demi nak cari Rukun Islam yang kelima.

“Bukan apa, esok takut Tuhan tanya kenapa tak pergi (tunai haji) sedangkan ada harta. Kita tiada peguam bela di sana (akhirat). Itulah sanggup jual rumah untuk pergi haji,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriah di sini selepas tiba dari Mina.

Yahya berkata, dia memanjatkan kesyukuran kerana hasrat sejak 15 tahun untuk menunaikan haji bersama isterinya, Nor Aini Abdullah, 66, akhirnya terlaksana.

Yahya (kanan) dan isterinya, Nor Aini bersyukur impian menunaikan haji di Tanah Suci akhirnya terlaksana.
Yahya (kanan) dan isterinya, Nor Aini bersyukur impian menunaikan haji di Tanah Suci akhirnya terlaksana.

“Alhamdulillah syukur, hajat sejak 15 tahun sudah terkabul. Memang sukar dan mencabar nak dapat Rukun Islam kelima ini sebab jemaah haji terlalu ramai di sini (Tanah Suci).

Artikel Berkaitan:

“Saya pun dah uzur sikit tapi Alhamdulillah boleh buat (laksana rukun dan wajib haji). Syukurlah apa yang ALLAH SWT berikan. Terima kasih kepada Tabung Haji dan petugas yang banyak membantu,” ujarnya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, bagi dirinya situasi paling mencabar adalah ketika berada di Mina.

“Bilik air kena beratur panjang, saya sentiasa doa supaya tidak terlalu banyak buang air dan Alhamdulillah dua ke empat jam barulah terasa nak buang air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yahya berkata, meskipun sudah selesai melaksanakan ibadah haji namun hatinya bersedih kerana bakal meninggalkan bumi Makkah tidak lama lagi.

“Sedih nak tinggalkan Makkah, tak dapat nak bayangkan. Ini mungkin kali terakhir ke sini sebab umur pun dah 71 tahun,” katanya lagi.

Ilot Hasan
Ilot Hasan

Sementara itu, seorang lagi jemaah haji, Ilot Hasan, 69, berkata, dia lega kerana duit RM100 yang disimpan setiap bulan selama 16 tahun membuahkan hasil apabila dapat membiayai kos ke Tanah Suci menunaikan haji.

Bekas pengasuh kanak-kanak itu berkata, seronok dapat bertemu kawan baharu di samping menunaikan ibadah berkenaan.

“Hanya ALLAH tahu betapa syukurnya saya. Setiap bulan simpan RM100. Ambil masa 16 tahun. Tak banyak, tapi saya tak pernah putus asa.

“Di sini saya banyak berdoa untuk keluarga, adik-beradik dan rakan-rakan. Saya mohon supaya mereka sihat dan dilimpahkan rezeki,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas Tabung Haji yang sentiasa membantu jemaah terutama warga emas sepertinya.

“Kalau kita tersalah tempat, mereka tolong hantar balik. Memang banyak membantu.

“Balik dari Tanah Suci ini saya harap dapat terus istiqamah untuk beribadat,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!