[VIDEO] 'Syukur cucu beri RM30,000 untuk saya dan isteri tunaikan haji'
MAKKAH – Seorang warga emas melahirkan rasa syukur apabila pengorbanan cucunya yang memberikan wang berjumlah RM30,000 membolehkan dia dan isterinya menunaikan haji tahun ini.
Yaacob Bador, 79, berkata, sekiranya bergantung pada wang simpanannya sendiri, ia memang tidak mencukupi untuk menampung kos ke Tanah Suci bersama isteri tercinta, Hasnah Daga, 69.
“Kalau ikutkan jumlah duit simpanan saya memang tak banyak, tapi cucu beri RM30,000 supaya saya dan isteri dapat tunaikan haji,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Abraj Al Janadriah di sini.
Menurut Yaacob, ketika menerima surat tawaran menunaikan haji, beliau hanya mempunyai wang simpanan sekitar RM3,000, jumlah yang jauh daripada mencukupi.

“Lepas dapat surat tawaran, saya terus hubungi cucu, Che Ramli Mohd Said, beritahu tak cukup duit nak naik haji. Tanpa fikir panjang, dia beri RM30,000. Dia kata, ‘Yang penting atuk pergi dulu ke Tanah Suci’,” ujarnya.
Tambahnya, wang tersebut digunakan sepenuhnya untuk menampung perbelanjaan haji dia dan isteri, manakala wang simpanan yang ada dijadikan sebagai duit poket sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kalau ikutkan, memang tak sangka boleh sampai ke sini (Tanah Suci), tetapi Alhamdulillah cucu bantu.
“Saya doakan cucu saya, Che Ramli, sentiasa dilindungi ALLAH, berjaya dalam bidang yang diceburinya dan terus menjadi insan berhati mulia. Tanpa dia, mungkin saya dan isteri tak sampai ke sini,” katanya sebak.

Mengulas lanjut, Yaacob menyifatkan pengalaman menunaikan haji sebagai satu detik luar biasa yang mengubah hidupnya.
“Banyak pengalaman yang kita tak terduga. Selepas ini saya nak perbaiki diri, jaga hubungan dengan keluarga dan kawan-kawan serta jadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Fasihah Athirah Abdul Halim, 24, berkata beliau bertuah dapat menunaikan haji pada usia muda.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapanya yang telah mendaftarkan namanya di Tabung Haji sejak berusia lapan tahun.
“Memang bersyukur mak daftarkan saya awal-awal dan simpan duit raya saya di Tabung Haji. Saya tahu bukan semua orang ada peluang macam ini,” katanya.
Nur Fasihah yang sepatutnya berangkat bersama keluarga pada tahun lalu berkata, beliau terpaksa menangguhkan pemergian kerana belum menamatkan pengajian ketika itu.
“Sepatutnya saya pergi dengan ayah, tapi masa tu saya belum habis belajar. Jadi saya tunda giliran saya. Ayah pula tak larat nak pergi tahun ni, jadi saya tekad untuk pergi seorang,” jelasnya.

Mengulas tentang pengalamannya sepanjang berada di Tanah Suci, beliau menyifatkan ibadah haji sebagai satu ujian fizikal dan mental yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila perlu menempuh perjalanan spiritual itu secara bersendirian.
“Mina sangat mencabar. Saya datang ke Tanah Suci seorang diri. Tapi saya guna waktu untuk baca al-Quran, berdoa dan berzikir. Saya anggap itu ruang untuk saya dekat dengan ALLAH.
“Doa saya yang utama ialah supaya dipermudahkan urusan mencari pekerjaan, selain memohon keampunan untuk diri, keluarga dan kenalan. Paling penting, saya mendoakan kawan-kawan yang masih sihat dan muda dapat ke Tanah Suci, sebab pentingnya pergi waktu muda kerana tak dapat bayangkan jika ke sini apabila sudah berusia,” katanya.
Meskipun mengakui banyak cabaran seperti kesesakan di Mina dan kekurangan tempat rehat yang selesa, Nur Fasihah tetap memanjatkan kesyukuran kerana sentiasa dikelilingi oleh insan-insan yang baik.
“Saya tahu, semua ini ujian. Saya pilih diam dan sabar bila diuji sebab saya tak nak sakiti hati sesiapa,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

