Anom Faizura pakar undang-undang bomba

KUANTAN - Penguasa Kanan Bomba I, Anom Faizura Mohd Hizam memikul tanggungjawab besar dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari sudut penguatkuasaan dan perundangan.
Pegawai yang telah berkhidmat selama 15 tahun itu berkata, tugasnya memerlukan kemahiran tinggi secara teknikal melibatkan Akta Perkhidmatan Bomba 1988, peraturan berkaitan keselamatan kebakaran, kod bangunan dan prosedur audit kebakaran.
Menurutnya, peranan tersebut bagi memastikan nyawa dan harta benda orang ramai dilindungi dengan lebih baik melalui pematuhan undang-undang.
“Kemahiran penilaian risiko, pengurusan insiden dan penggunaan sistem dokumentasi serta penguatkuasaan digital juga amat diperlukan.
“Sebab itu, saya turut menghadiri pelbagai latihan teknikal seperti audit premis berisiko tinggi dan latihan kebakaran berasaskan simulasi untuk menambah kemahiran serta pengetahuan,” katanya yang bertugas di Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya.
Menurut anak kelahiran Hutan Melintang, Perak berusia 41 tahun itu, beliau pernah terlibat dalam siasatan kes kebakaran besar melibatkan kehilangan nyawa dan kerugian jutaan ringgit.
Katanya, kes tersebut amat mencabar dan memberi tekanan tinggi apabila memerlukan ketelitian kerana pendakwaan serta laporan teknikal akan menjadi rujukan kepada pelbagai agensi lain.
“Tugas saya memastikan semua dokumen siasatan lengkap, sah dari segi undang-undang dan boleh digunakan di mahkamah,” tegasnya.
Selain itu, Anom Faizura juga perlu menyampaikan hujahan secara berstruktur, meyakinkan dan tepat kepada pihak berkepentingan terutama pengurusan tertinggi jabatan termasuk kementerian dan industri.
Katanya, kemahiran komunikasi berimpak tinggi bukan lagi kelebihan tetapi satu keperluan mutlak.
“Untuk itu, saya menyertai Kelab Toastmasters JBPM Putrajaya secara aktif bermula tahun lalu untuk mengasah kemahiran pengucapan awam, komunikasi teknikal dan kepimpinan.
“Ini dapat meningkatkan keberanian untuk menyuarakan pandangan dalam mesyuarat atau forum berprofil tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, penglibatan dalam proses penggubalan pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang selesai dibentangkan di Parlimen pada Mac lalu antara tugas mencabar pernah dilaluinya.
Selain menyediakan draf cadangan pindaan bersama pasukan perundangan JBPM, beliau turut diberi tanggungjawab mewakili jabatan dalam sesi libat urus dan pembentangan teknikal di Parlimen.
Jelasnya, tugas itu memerlukan ketelitian, keyakinan tinggi dan kefahaman menyeluruh terhadap undang-undang sedia ada serta kesan implikasi setiap pindaan yang dicadangkan.
Menurut Anom Faizura, sebagai pegawai wanita, beliau mengakui berdepan cabaran dalam membina keyakinan orang sekeliling terutama dalam perbincangan teknikal dan aspek penguatkuasaan.
“Saya membina pengetahuan kukuh, menghadiri kursus tambahan dan sentiasa bersedia menunjukkan prestasi kerja yang konsisten dan berkualiti.
“Sokongan rakan sekerja dan semangat untuk membuktikan kemampuan wanita dalam sektor ini menjadi pendorong utama,” katanya.
Anom Faizura menasihatkan golongan wanita muda supaya berani dan tidak meragui keupayaan diri sendiri untuk menyertai JBPM.
“Peluang untuk menyumbang sangat luas sama ada di barisan hadapan atau di bahagian perundangan, latihan, pendidikan kebakaran dan kejuruteraan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!