Orang ramai bimbang aspek kerahsiaan, keselamatan

SHAH ALAM - Orang ramai terus menyuarakan kebimbangan berhubung arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dari Januari hingga Mac tahun ini.
Walaupun SKMM menjelaskan bahawa tiada maklumat peribadi akan diakses atau didedahkan, langkah itu tetap mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat yang bimbang soal kerahsiaan dan keselamatan data mereka bocor kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Peniaga, Nur Baiduri Assan, 35, berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan maklumat peribadi tidak akan disalah guna, isu pencerobohan privasi tetap menjadi kebimbangan utama pengguna.
“Kita tidak tahu sejauh mana data itu digunakan dan siapa yang betul-betul kawal. Kalau data panggilan dan internet disimpan tanpa pengetahuan pengguna, itu sudah cukup meresahkan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Khalish Zachariah, 35, berkata, kerajaan dan juga SKMM perlu tampil memberikan penjelasan yang lebih telus dan meyakinkan kepada rakyat.
“Jangan sampai orang fikir kerajaan intip rakyat. Kalau benar ada sebab kukuh demi keselamatan negara, jelaskan secara terbuka. Jangan buat secara senyap-senyap,” katanya.
Bagi tukang jahit, Sabariah Daud, 39 pula, dia melihat arahan SKMM kepada syarikat telekomunikasi dari sudut keselamatan dan pengawasan yang mungkin diperlukan untuk menangani ancaman tertentu.
“Memang wujud kebimbangan tentang privasi, tetapi kita juga tidak boleh nafikan keperluan kerajaan memantau komunikasi jika ada elemen jenayah siber. Yang penting, mesti ada kawalan dan pengawasan yang jelas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
