Lelaki maut ditikam rakan sekerja ketika takbir raya

Seorang lelaki maut akibat ditikam menggunakan pisau oleh rakan sekerjanya.
Seorang lelaki maut akibat ditikam menggunakan pisau oleh rakan sekerjanya.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang lelaki maut akibat ditikam menggunakan pisau oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di perumahan pekerja di kawasan ladang di daerah ini, pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden D Ravi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.40 pagi Sabtu yang dibuat oleh anak saudara mangsa di Balai Polis Lahad Datu.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada malam Jumaat ketika berlangsung majlis malam takbir raya di rumah salah seorang pekerja di kawasan tersebut.

"Semasa kejadian, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan tiga suspek sehingga tercetusnya pergaduhan dan anak saudara mangsa yang juga saksi kejadian telah melihat mereka mengejar mangsa yang melarikan diri ke dalam rumah dengan membawa pisau," katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.

Katanya lagi, kesemua suspek kemudian bertindak memecahkan cermin luar rumah dan berlaku kejar mengejar dengan mangsa.

"Saksi melihat dua suspek bertindak menyerang mangsa dengan menikam menggunakan pisau di bahagian ulu hati dan belakang bawah sebelah kiri tubuh mangsa.

"Mangsa sempat meminta bantuan sebelum rebah ke dalam longkang manakala ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu tetapi telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya.

"Susulan kejadian itu, pihak polis berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 46 dan 30 tahun yang mengaku berada di tempat kejadian bersama seorang lagi suspek yang masih bebas dan kini sedang dikesan.

"Turut dirampas pisau sepanjang 17 sentimeter dipercayai senjata yang digunakan untuk menikam mangsa sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Katanya lagi, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!