Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika jolok buah mangga

Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga menggunakan besi berhampiran kabel elektrik di Kampung Bambangan, Papar.
Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga menggunakan besi berhampiran kabel elektrik di Kampung Bambangan, Papar.
A
A
A

PAPAR - Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil buah mangga dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bambangan, di sini pada Ahad.

Mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dibawa turun dari pokok mangga tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari BBP Papar.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai memanjat pokok untuk mengambil mangga dan menggunakan sebatang besi sebagai alat penjolok.

“Bagaimanapun, penjolok besi itu telah tersentuh kabel elektrik berhampiran menyebabkan mangsa terkena renjatan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan tersangkut pada pokok tersebut.

“Pasukan bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat setelah bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity.

“Sebaik sahaja berjaya diturunkan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Operasi ditamatkan pada jam 4.29 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di kawasan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!