Biar mahkamah tentukan - Adly

JELI - Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan bahawa isu saman sivil melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk ditentukan.
Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, Perdana Menteri telah memberikan penjelasan berhubung perkara itu sebelum ini, justeru tindakan lanjut perlu mengikuti proses perundangan yang ditetapkan.
"Perdana Menteri sudah menjawab perkara itu sebelum ini dan saya fikir biarlah mahkamah yang tentukan kerana perlu melalui prosedur tertentu termasuk tempoh rayuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Lawatan Kerja dan Korban Sempena Hari Raya Aidiladha Bersama Anggota Operasi Merpati Negeri Kelantan pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak Anwar agar mengambil cuti sementara susulan kes saman sivil yang difailkan oleh Yusof Rawther terhadap beliau.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah untuk berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.
Menurutnya, kes tersebut bukan sahaja menyentuh soal perundangan malah kesan kepada reputasi beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
