Belum ada keputusan hadkan lorong kiri motosikal

Anthony Loke Siew Fook - Foto Bernama
Anthony Loke Siew Fook - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaan mengehadkan lorong kiri jalan raya khusus bagi motosikal kapcai sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan pengguna kenderaan itu.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya mengambil maklum akan cadangan itu, namun ia perlu dikaji.

“Jika kita nak kurangkan kadar kemalangan maut sudah semestinya kita kena kurangkan kadar kemalangan motosikal... jadi apa apa cadangan kita terbuka untuk melihatnya.

“Kita tidak boleh meletakkan satu tempoh muktamad untuk ia dilaksanakan, daripada segi undang-undang kita boleh sahaja bersetuju dengan cadangan itu namun yang paling penting bagaimana cara kita boleh menguatkuasakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengkaji cadangan tersebut seperti dilaporkan akhbar hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum akan aspek penguatkuasaan lemah yang mendorong kepada peningkatan statistik kemalangan lalu lintas, justeru langkah penguatkuasaan serta peraturan sedia ada akan diperketatkan lagi.

Statistik JKJR 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Sebuah kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai Safety First turut menggesa agar dilaksana cadangan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: