Kabinet baharu: Kelantan dapat 'durian runtuh'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan ibarat mendapat 'durian runtuh' selepas lapan ahli Parlimen dan dua senator dari negeri ini menyertai barisan Kabinet baharu kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Ekonomi), Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Parlimen dan Undang-undang), Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Selain itu, Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama), Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga), Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar).

Fokus kini terarah kepada isu pembangunan di Kelantan yang didakwa Pas selama ini dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan.

Justeru, pelantikan lima menteri dan lima timbalan menteri diharap dapat menjadi titik tolak terhadap kerancakan pembangunan negeri Kelantan dalam pelbagai sektor sosioekonomi bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu

Turut perlu menjadi fokus ialah meneruskan rundingan mengenai royalti petroleum yang dilakukan ketika kerajaan Persekutuan masih di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum kejatuhan pentadbiran parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, Mustapa diyakini mampu meneruskan rundingan berkaitan royalti petroleum yang dimulakan beliau sejak beberapa tahun lepas, apatah lagi hubungan baik yang terjalin antara beliau dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin umum senarai Kabinet, lantik empat menteri kanan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara mudahnya, royalti petroleum jika dibayar, akan lebih mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan infostruktur (capaian telekomunikasi) oleh kerajaan Kelantan bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada bakal pelabur berikutan negeri ini yang masih kaya dengan sumber alam yang masih belum terusik.

"Kedatangan pelabur yang lebih ramai ke Kelantan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini sekali gus dapat mengurangkan penghijrahan anak muda ke pantai barat untuk mencari pekerjaan.

"Ditambah pula dengan sikap rakyat Kelantan yang suka berniaga, kemudahan infostruktur seperti jalur lebar yang lebih pantas, boleh menyumbang kepada aktiviti perniagaan dalam talian yang kini menjadi pilihan ramai usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis) Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata masa depan Kelantan diharap akan lebih gemilang jika dilihat kepada jumlah besar ahli Parlimen dan senator yang menganggotai Kabinet baharu ini.

Beliau berkata, Mustapa dan Mohd Radzi berpotensi membangunkan Kelantan kerana banyak projek yang boleh dirancang dan dilaksanakan melalui kedua-dua kementerian yang dipegang oleh tokoh-tokoh tersebut.

"Harapan tinggi pastilah terpikul di atas bahu kedua-dua mereka untuk membantu membangunkan kedudukan ekonomi dan pendidikan Kelantan selaras dengan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka, selain portfolio Che Abdullah yang sangat relevan dengan Kelantan yang merupakan antara penyumbang kepada sektor pertanian negara.

"Dalam masa yang sama, negeri-negeri lain tidak sepatutnya berasa iri hati dengan senarai menteri dan timbalan menteri dari Kelantan ini kerana berbanding dengan negeri-negeri lain inilah kali pertama sejak negara merdeka, Kelantan memperoleh keistimewaan ini sedangkan kebanyakan daripada negeri lain sudah biasa memiliki bilangan ahli Kabinet yang ramai sebelum ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan Kelantan kini sudah berada dalam arus perdana pemerintahan dengan kerajaan Persekutuan dan peluang itu perlu digunakan sebaik-baiknya untuk pembangunan negeri. - Bernama