Pasang alat penjejak elak ayah hilang

SHAH ALAM - Demi memastikan keselamatan bapanya yang menghidap dementia, seorang anak sanggup mengambil inisiatif memasang alat penjejak kecil dalam dompet warga emas itu bagi memantau keberadaannya setiap kali keluar rumah.
Muhammad Hasnan Hussin, 34, berkata, tindakan itu diambil selepas bapanya, Hussin Ali, 73, yang juga pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), semakin menunjukkan gejala pelupa yang serius.
“Dia juga sering cuba keluar rumah untuk ‘pulang’ ke tempat yang tidak wujud, antaranya rumah nenek moyangnya di Kedah yang sebenarnya sudah tiada.
“Idea untuk menggunakan alat penjejak ini dicadangkan oleh isteri saya selepas berlaku beberapa kejadian cemas termasuk insiden ayah hilang selama beberapa jam dan pernah menaiki bas seorang diri ke Klang,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, perkongsian video yang dimuat naik Muhammad Hasnan mengenai rutin harian bapanya termasuk tindakan meletakkan alat penjejak, tular dan menerima pelbagai reaksi positif.
Bercerita lebih lanjut, Muhammad Hasnan yang menetap di Puchong memaklumkan bahawa bapanya pernah hilang sekitar kawasan kediaman, namun ditemui semula selepas beberapa jam.
“Waktu itu saya sangat risau, ayah pernah hilang sampai kami mencari sekitar Puchong. Pernah juga naik bas dan saya sempat kejar sebab kebetulan alat penjejak menunjukkan lokasinya bergerak jauh,” ujarnya.
Menurutnya, alat penjejak tersebut dipasang sejak Oktober tahun lalu dalam dompet kerana itu merupakan barang yang sentiasa dibawa oleh bapanya setiap kali keluar rumah.
“Kami dah sorok semua barang lain, tapi dompet dia mesti bawa sebab nak bayar bila keluar minum. Jadi saya letak alat penjejak kecil dalam dompet dan saya sahaja yang boleh kesan guna telefon,” katanya yang bekerja sebagai pengurus sebuah pasar raya di Petaling Jaya.
Muhammad Hasnan yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, bapanya disahkan menghidap dementia sejak empat tahun lalu selepas mengalami strok ringan dan serangan jantung.
“Sejak itu daya ingatannya semakin merosot. Kadang-kadang dia fikir dia masih bekerja di MARDI atau tinggal di rumah lama masa kecil. Dia akan minta balik kampung, jumpa ‘atuk’ yang sebenarnya sudah lama tiada,” katanya.
Tambahnya, mereka sekeluarga tidak sanggup menyekat kebebasan warga emas itu sepenuhnya kerana bimbang ia memberi tekanan emosi.
“Kami faham dia perlukan ruang dan udara luar. Jadi dengan adanya alat penjejak, sekurang-kurangnya saya boleh pantau dari jauh. Bila nampak dia berhenti lama di satu tempat, saya terus pergi cari,” katanya yang menjaga bapanya selepas ibunya meninggal dunia.
Beliau juga berkongsi bahawa mereka sudah menjual kereta bapanya demi keselamatan selepas beberapa kali warga emas itu tersesat semasa memandu.
“Saya harap langkah ini boleh menjadi panduan untuk keluarga lain yang berdepan situasi sama. Tapi penting juga lihat tahap kesihatan pesakit,” katanya.
Beliau turut menasihati agar keluarga pesakit dementia sentiasa bersabar dan kreatif dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan insan tersayang yang semakin dimamah usia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
