[VIDEO] 'Banyak kali saya larang mereka pergi' - Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekelip mata

A
A
A

PARIT – Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati rupa-rupanya membawa khabar duka apabila empat anaknya bersama seorang menantu maut dalam nahas di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri–Maran, Pahang pada tengah malam tadi.

Zaini Noh, 52, berkata rasa tidak sedap hati itu diterjemahkan dengan menasihati anak-anak dan menantunya agar tidak meneruskan hasrat untuk berhari raya di rumah bapa saudara mereka.

Bagaimanapun, menurutnya, anak-anaknya kelihatan bersungguh-sungguh menyebabkan dia dan suami, Aziz Jaafar Yusof, 50, mengizinkan.

"Saya tak dapat pergi kerana kurang sihat. Saya cakap dengan mereka, kalau mak tak pergi, tak payahlah pergi.

"Banyak kali saya melarang mereka pergi, tetapi mereka nak pergi juga," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan di sini, pada Sabtu.

Gambar kenangan Zaini dan suami bersama lima anak dan menantu yang terkorban. Dari kanan: Mohammad Zulkifli, Mohamad Azizul Hakimi, Mohamad Ikmal, Nur Arfiqah (tiga dari kiri) dan Nurul Hazwani (dua dari kanan).
Gambar kenangan Zaini dan suami bersama lima anak dan menantu yang terkorban. Dari kanan: Mohammad Zulkifli, Mohamad Azizul Hakimi, Mohamad Ikmal, Nur Arfiqah (tiga dari kiri) dan Nurul Hazwani (dua dari kanan).

Dalam kejadian pada jam 12.40 tengah malam itu, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, bersama tiga adiknya, Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

Mereka yang maut merupakan anak kedua, ketiga, keempat dan kelima daripada enam beradik.

Artikel Berkaitan:

Turut terkorban, suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26, yang memandu kenderaan tersebut.

Zaini memberitahu, anak-anaknya memang sudah lama tidak menjejak kaki ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut dan kunjungan kali ini adalah yang pertama selepas sekian lama.

"Mereka ke sana kerana abang saya ada buat kenduri korban. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu saya bergerak sehari lebih awal, hari Khamis, menaiki dua lagi kenderaan," katanya.

Menurut Zaini, kali terakhir dia bertemu semua anaknya ialah pada hari Selasa sebelum kejadian.

Katanya, mereka mengambil dan mengemas barang untuk tidur di kediaman Nur Arfiqah di Tambun sebelum berangkat ke Jerantut sekitar jam 5 petang pada Jumaat.

Zaini menatap pilu gambar anak-anaknya yang terkorban dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Jerantut Feri-Maran, Pahang pada tengah malam tadi.
Zaini menatap pilu gambar anak-anaknya yang terkorban dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Jerantut Feri-Maran, Pahang pada tengah malam tadi.

"Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa. Cuma kawan-kawan anak yang banyak bercerita.

"Mereka kata anak saya (Mohammad Zulkifli) sempat belanja makan 10 kawan rumah sewa dia nasi bungkus," katanya.

Beliau menerima berita mengenai kemalangan itu melalui panggilan daripada jiran yang memaklumkan anak-anaknya terlibat dalam kemalangan.

"Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada," jelasnya.

Walaupun berat untuk menerima kenyataan, Zaini dan suaminya tabah dan reda menghadapi kehilangan besar ini.

Katanya, mereka kini hanya tinggal dua anak iaitu anak sulung (lelaki) dan anak bongsu (perempuan).

"Apa saya boleh kata... saya reda," katanya, menahan sebak.

Jenazah semua mangsa akan disembahyangkan di Masjid Jamek Bota Kanan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!