Kematian kelapan jemaah haji Malaysia

MINA - Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah keseluruhan lapan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata, jemaah berkenaan, Abd Yazit Matt, 65, meninggal dunia jam 11.22 malam pada Jumaat di Hospital Pakar Al Noor di sini.
"Allahyarham yang beralamat di Kampung Nisam Mukim Kurung Batang, Kangar Perlis, meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
"Allahyarham dari KT100 dan menginap di Maktab 82, Al Olayan Al Haram di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat khemah penginapan jemaah haji Malaysia di Mina pada Sabtu.
Ini adalah kematian ketujuh melibatkan serangan jantung, seorang lagi jemaah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ pada 4 Jun lalu.
Dalam pada itu, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghubungi waris Allahyarham dan mengurus sepenuhnya segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah serta kebajikannya.
Mohd Na'im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH merakamkan ucapan takziah kepada waris serta ahli keluarga arwah dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

