Kisah Bilal Bin Rabah cetus inspirasi ‘Bilal dan Abah’

KETEGUHAN iman dan pengorbanan sahabat Nabi Muhammad SAW, Bilal bin Rabah, terus menjadi inspirasi pelbagai pihak termasuklah dunia seni tempatan yang menampilkan kisah figura agung itu menerusi telefilem khas Aidiladha bertajuk Bilal dan Abah.
Telefilem arahan Pali Yahya ini dihasilkan oleh Mache Allstar United Sdn Bhd, bakal disiarkan di TV Al Hijrah pada 8 Jun 9 (Ahad), jam 9 malam.
Menariknya, Bilal dan Abah bukan sekadar paparan kisah sejarah, sebaliknya mengetengahkan watak Bilal – seorang pemuda autisme yang sangat mengagumi Bilal bin Rabah dan bercita-cita mahu menjejakkan kaki ke Makkah untuk melaungkan azan.
Bilal, lakonan mantap Azhan Rani, digambarkan sebagai seorang yang rajin mengumpul tin dan besi buruk demi menyimpan wang untuk merealisasikan impiannya.

Dalam perjalanan itu, hadir Fatihah (lakonan Ummi Nazeera), seorang wanita yang bekerja di syarikat umrah dan membuka peluang buat Bilal menunaikan impiannya walaupun Abahnya (Harun Hashim), tidak sempat menyaksikan detik penuh bermakna itu.
Menurut pengarahnya, Pali Yahya, telefilem ini begitu dekat di hatinya kerana ia berjaya menghimpunkan elemen dakwah, nilai kekeluargaan dan pengorbanan yang sesuai dengan semangat Aidiladha.
“Walaupun dah banyak kali mengarah, naskhah ini cukup istimewa kerana kami jalankan penggambaran di Makkah dan Madinah.
"Ia kena dengan waktu siarannya iaitu musim haji. Surau berusia lebih 100 tahun di Slim River, Perak turut dijadikan lokasi, menambah nilai tradisi dalam drama ini,” katanya.
Pali turut memuji barisan pelakon yang memberikan komitmen luar biasa.
Katanya, Azhan berjaya membawakan karakter pemuda autisme dengan penuh penghayatan, manakala Harun Hashim meskipun sudah agak uzur, masih mampu memberi persembahan yang menyentuh hati.
“Saya dah biasa bekerjasama dengan Ummi dan Azhan. Lakonan Azhan sebagai Bilal sangat mencabar kerana ia perlukan keseimbangan antara sisi keanak-anakan dan keimanan yang tulus,” tambahnya.
Sementara itu, penerbit telefilem, Datin Norley Aimi Nadiah Shaari meluahkan rasa syukur apabila naskhah ini diterima TV Al Hijrah sebagai telefilem pertama mereka di saluran berkenaan.

“Ini kali ketiga kami buat penggambaran di Makkah dan Madinah selepas Surat Dari Tuhan (TV3) dan Satu Hari Nanti (Iqiyi). Kami ada rumah dan perniagaan di sana, jadi urusan logistik dan penginapan sangat teratur,” jelasnya.
Beliau turut mengakui bahawa naskhah Islamik seperti ini perlu diperbanyakkan lagi kerana ia membawa mesej yang baik sambil masih mengekalkan nilai hiburan untuk tontonan seisi keluarga.
“Telefilem ini sangat sesuai ditonton bersama keluarga dan kami harap ia akan dapat sambutan hangat. Terima kasih kepada Zabidi Mohamad selaku penasihat penerbitan dari pihak TV Al Hijrah yang percaya pada naskhah ini,” katanya.
Skrip Bilal dan Abah ditulis oleh Azal Ezreen dan dijangka menyentuh hati ramai penonton, apatah lagi dengan gabungan lokasi suci, barisan pelakon hebat serta jalan cerita yang sarat nilai kemanusiaan dan spiritual.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

